Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkasa laluan pengajian ke Timur Tengah, KIAS

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 4 Mac — Kerajaan Negeri Kelantan memperkasa laluan pengajian ke Timur Tengah serta institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelaksanaan Kempen Melanjutkan Pengajian ke Timur Tengah dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), selain menyelaraskan proses penghantaran pelajar ke luar negara secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha tersebut bertujuan memperkukuh perancangan pendidikan anak Kelantan agar lebih sistematik, selamat dan diyakini oleh ibu bapa.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas yang memberi tumpuan kepada strategi mempergiat promosi laluan pengajian ke institusi di Timur Tengah serta KIAS, di samping memastikan proses penghantaran pelajar ke luar negara dilaksanakan secara efisien dan teratur.

Menurut Dato’ Wan Roslan, kehadiran pelbagai pihak berkepentingan dalam mesyuarat tersebut membuka ruang perkongsian pandangan, pengalaman dan cadangan penambahbaikan bagi memperkemaskan pelaksanaan kempen secara lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, satu karnival pendidikan turut dirancang sebagai platform penerangan komprehensif kepada pelajar dan ibu bapa mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah serta institusi berkaitan.

Karnival tersebut dijangka menjadi medan perkongsian maklumat yang jelas dan tersusun, merangkumi laluan kemasukan, peluang tajaan, prospek kerjaya serta peranan graduan dalam menyumbang kepada pembangunan agama dan negeri.

“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh peranan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan dan kemajuan Kelantan secara mampan,” katanya.

Turut hadir,  Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Tan Sir Nik Hashim, Rektor KIAS Prof Dr Mazlan Ibrahim, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar serta mantan pimpinan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir Ahmad Subhi Zainal Abidin.