Malaysia digesa salur bantuan awal perubatan ke Iran – Senator Dr Wan Martina
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menggesa Kerajaan Malaysia segera menyalurkan bantuan perubatan ke Iran susulan konflik bersenjata yang semakin meruncing di rantau Timur Tengah ketika ini.
Beliau menegaskan bahawa krisis berkenaan bukan sekadar isu geopolitik, sebaliknya satu malapetaka kemanusiaan yang berpotensi mengancam ribuan nyawa tidak berdosa.
Menurutnya, kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) perlu memulakan langkah segera untuk memobilisasi bantuan perubatan dan makanan.
Dr Wan Martina mencadangkan supaya Malaysia menyelaraskan pasukan perubatan sukarela yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan trauma dan kecemasan.
"Memandangkan fasiliti kesihatan sering menjadi sasaran atau lumpuh dalam zon peperangan, Malaysia perlu bersedia menghantar pasukan perubatan sukarela (medics) yang pakar dalam pengurusan trauma dan kecemasan" katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pengumpulan stok ubat-ubatan asas, antibiotik, serta kit pembedahan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi bantuan antarabangsa.
Ahli Dewan Negara itu juga menggesa penggunaan saluran diplomatik melalui Wisma Putra bagi memastikan kewujudan koridor kemanusiaan yang selamat.
"Ini penting supaya bantuan makanan dan perubatan dapat sampai kepada orang awam tanpa sebarang sekatan. Peperangan tidak pernah memilih mangsa. Di sebalik angka statistik konflik, ada wanita, kanak-kanak dan warga emas yang memerlukan bantuan segera. Malaysia mempunyai reputasi baik dalam misi bantuan antarabangsa dan tidak wajar berdiam diri ketika krisis kemanusiaan semakin menghampiri titik kritikal,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk bersatu padu dalam doa serta menyalurkan sumbangan melalui saluran rasmi yang sah bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.








