Alumni KFLI diseru jadi aset strategik pembangunan belia Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 4 Mac – Alumni program Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) diseru memanfaatkan kekuatan jaringan sedia ada sebagai aset strategik negeri dalam memperkasa agenda pembangunan belia secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Hasrat itu disuarakan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad ketika berucap pada Program Iftar Perdana KFLI yang berlangsung di H-Elite Design Hotel, semalam.
Menurutnya, himpunan pimpinan kohort serta alumni KFLI membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam melahirkan barisan pemimpin muda yang bukan sahaja berkualiti, malah mempunyai jatidiri dan prinsip kepimpinan yang jelas.
“Kita mengharapkan kepimpinan anak muda Kelantan mempunyai keberanian moral, kejelasan misi serta kesediaan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negeri,” katanya.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad
Beliau menjelaskan bahawa dalam landskap politik moden, kepimpinan sering dikaitkan dengan kuasa dan pengaruh. Namun dalam kerangka Islam, kepimpinan adalah satu amanah yang bakal dipersoalkan dan menuntut tahap integriti yang tinggi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri konsisten menekankan pembinaan karakter berasaskan konsep Al-Qawiy Al-Amin iaitu kuat dan berintegriti sebagai asas pembangunan kepimpinan belia.
YB Zamakhshari turut menggariskan tiga dimensi utama yang perlu digerakkan dalam membentuk pemimpin muda masa depan, iaitu dimensi intelektual, moral serta tadbir urus dan kompetensi.
“Pemimpin mesti berfikir secara kritikal, memahami dasar serta isu global. Dalam masa sama, mereka perlu memiliki kekuatan moral dan keupayaan tadbir urus yang mampu membawa nilai perubahan dalam kepimpinan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif KFLI Ridhuwan Che Musa merakamkan penghargaan kepada semua 100 wakil daripada 1900 peserta berdaftar daripada Kelantan Future Leaders Camp, Kelantan Future Leaders Bootcamp, Kelantan Future Leaders Academy serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan yang hadir memeriahkan majlis.
Beliau berkata, pertemuan bersempena Ramadan itu dapat mengeratkan ukhuwah dan membuka ruang perbincangan berkaitan pelaksanaan program pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran bagi setiap kohort.
“Kita mahu manfaatkan rangkaian alumni yang besar ini sebagai kekuatan kolektif untuk menyumbang kepada pembangunan belia dan kemajuan negeri Kelantan,” katanya.
Dalam majlis itu juga turut dilancarkan pengenalan laman web rasmi Kelantan Future Leaders (Kfli.my) sebagai platform digital rasmi institut berkenaan bagi menyelaras maklumat, aktiviti serta jaringan alumni secara lebih sistematik.
Selain itu, Majlis Kepimpinan Kelantan Future Leaders (MK KFL) turut diperkenalkan sebagai badan penyelaras yang berperanan memperkukuh struktur kepimpinan alumni dan merangka inisiatif pembangunan belia secara lebih terarah.














