Accessibility Tools

Skip to main content

RM1 juta perkasa projek kambing tenusu di Kelantan

Oleh: Asri Hamat

PASIR PUTEH, 4 Mac - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melaksanakan Projek Ternakan Kambing Tenusu di bawah Program Kerjasama Kerajaan Negeri dan KPKM.

Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan tersebut bertujuan memperkasa golongan penternak kecil melalui pengembangan projek ternakan kambing tenusu secara lebih sistematik, mampan dan berdaya maju, sekali gus meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan RM1 juta tersebut, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi perolehan 89 ekor kambing tenusu import dari Australia membabitkan 74 ekor induk dan 15 ekor pejantan.

"Kambing berkenaan akan diagihkan kepada 16 penternak yang terpilih. Penternak lama akan menerima antara lima hingga lapan ekor kambing, manakala penternak baharu menerima dua hingga tiga ekor."

Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu bagi tahun 2026, di perkarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar  Pasir Puteh, pada Selasa.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 16 penternak dari enam jajahan di Kelantan iaitu dari jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Tumpat dan Bachok menerima bantuan tersebut.

Katanya lagi, inisiatif strategik itu dilihat mampu memperkukuh tahap sekuriti makanan negeri dan negara, khususnya dalam sektor pengeluaran susu kambing segar tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuhkan tahap sekuriti makanan negeri dan negara.

Dato' Tuan Mohd Saripudin turut mengingatkan penerima bantuan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kerana bantuan berkenaan merupakan satu amanah yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab.

Sementara itu, Pengarah JPVNK Dr Yahasmida Yaacob, berkata program berkenaan bukan sekadar penyerahan ternakan semata-mata, sebaliknya merupakan usaha berterusan bagi meningkatkan pengeluaran susu kambing tempatan.

Pengarah JPVNK Dr Yahasmida Yaacob

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkasa ekonomi luar bandar selain menjamin bekalan susu segar tempatan yang berkualiti dan selamat untuk pengguna.

“Bantuan ini bukan sekadar pemberian ternakan, tetapi satu usaha berterusan untuk meningkatkan hasil pengeluaran susu kambing dalam kalangan penternak di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat diuruskan dengan baik oleh penternak, khususnya dari aspek pemakanan, penjagaan kesihatan ternakan serta pengurusan rekod pengeluaran.

Katanya, kejayaan program itu amat bergantung kepada komitmen dan kesungguhan komuniti penternak sendiri dalam memastikan ternakan diusahakan secara sistematik dan berdaya maju.

“Jadikan bantuan ini sebagai pemangkin untuk terus maju dan berdaya saing serta mampu menjadikan penternakan kambing tenusu sebagai sumber pendapatan yang berterusan,” serunya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak JPVNK akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal serta menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek berkenaan mencapai objektif yang ditetapkan.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) dari Parlimen Pasir Puteh, Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Dr Siti Bainun Osman, wakil Ketua Jajahan Pasir Puteh dan wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN).