Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan tambah peruntukan RM210,000 bina kandang kambing lestari di tujuh DUN

Oleh: Asri Hamat

PASIR PUTEH, 4 MAC – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Portfolio Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi menambah peruntukan sebanyak RM210,000 kepada tujuh Dewan Negeri (DUN) terpilih bagi pembinaan kandang kambing yang lestari dan lebih sistematik.

Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, setiap DUN menerima sebanyak RM30,000 bagi memastikan pembinaan kandang menepati spesifikasi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK).

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan sebagai sokongan terhadap penubuhan Goat Milk Collection Centre (GMCC) yang bakal menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan susu kambing di negeri ini.

“Usaha ini adalah bagi menyambut baik penubuhan GMCC yang diwujudkan hasil kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Pembinaan kandang yang lebih tersusun dan mengikut piawaian amat penting bagi memastikan bekalan susu kambing yang dihantar ke pusat pengumpulan menepati standard kualiti ditetapkan."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu JPVNK bagi tahun 2026, di perkarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, pada Selasa.

Menurut beliau lagi, projek pembinaan kandang berkenaan turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) sebagai agensi teknikal dalam aspek kesihatan haiwan dan kawal selia piawaian.

Selain itu, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) menyediakan sokongan perancangan ekonomi, manakala Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) menggerakkan pembangunan rantaian bekalan termasuk penyediaan sumber makanan ternakan dan sokongan teknologi.

Tambah Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, kewujudan GMCC memberi kelebihan besar kepada industri kambing tenusu Kelantan kerana ia menyusun semula rantaian nilai daripada peringkat ladang ke pasaran secara lebih sistematik dan berpiawaian.

“Susu kambing yang dikumpulkan akan melalui proses kawalan kualiti yang lebih ketat, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang pasaran lebih luas termasuk penghasilan produk hiliran seperti yogurt dan keju,” jelasnya.

Tambahnya, dengan siapnya dua buah GMCC iaitu di Pasir Puteh dan Ketereh melalui projek kerjasama dengan ECERDC yang menelan belanja lebih 3 juta dapat memberi peluang kepada para penternak untuk memasarkan susu kambing mereka.

"Pusat GMCC ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan April ini dan memerlukan maksimum 1000 liter sehari dan sekurang-kurangnya 300 liter sehari untuk menjalankan operasi," ujarnya.