Accessibility Tools

Skip to main content

Iftar bersama perantau luar negeri, platform eratkan ukhwah anak Kelantan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

MELAKA, 3 Mac – Iftar bersama perantau luar negeri terus menjadi platform penting dalam mengeratkan ukhuwah dan memperkukuh hubungan sesama anak Kelantan yang berada jauh dari tanah air, khususnya dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ketika meluangkan masa menyantuni lebih 350 anak Kelantan dalam Majlis Berbuka Puasa di Dewan Mualim, Bukit Katil, di sini, pada Jumaat.

Dato' Mohd Nassuruddin menyifatkan program seumpama itu sebagai medan menyatukan hati serta memperkukuh semangat kebersamaan antara pimpinan negeri dan anak-anak perantau.

“Alhamdulillah, ikatan ukhuwah dan kegembiraan jelas dirasai. Pertemuan seperti ini amat bermakna dalam menyatukan hati serta memperkukuh semangat kebersamaan,” katanya di laman rasmi pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan kebajikan anak-anak Kelantan terus terpelihara, sama ada yang berada di dalam negeri mahupun di perantauan, selain menyalurkan maklumat terkini berkaitan pembangunan dan inisiatif negeri.

Menurutnya, majlis berbuka puasa bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi simbol keprihatinan serta kesinambungan hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat Kelantan di luar negeri.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) Cawangan Melaka Tengah dan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) atas undangan dan layanan mesra yang diberikan.

Dato’ Mohd Nassuruddin juga menyeru anak-anak Kelantan agar sentiasa menjaga nama baik negeri dan memelihara jati diri walau di mana sahaja berada.