Pembangkang terbuka berunding, gesa Kerajaan perkukuh libat urus RUU
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pembangkang menyatakan pendirian terbuka untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung sebarang Rang Undang-Undang (RUU) yang ingin dibentangkan, demi memastikan kelulusan dasar penting negara dapat dicapai melalui persefahaman bersama.
Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan wajar merendah diri dan membuka ruang rundingan lebih luas serta menghormati peranan semua pihak di Parlimen.
Beliau mengulas demikian susulan kegagalan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun selepas RUU berkenaan tidak memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, pembangkang sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan usaha rundingan lebih awal daripada pihak kerajaan berkaitan mana-mana RUU yang mempunyai kepentingan nasional.
Sebagai contoh, beliau mengimbas kembali cadangan menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun ketika YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan. Katanya, pembangkang ketika itu memberikan sokongan sehingga RUU tersebut diluluskan dengan majoriti besar di Parlimen hasil perbincangan dan kesepakatan rentas parti.
Selain itu, RUU berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut mendapat sokongan Ahli Dewan selepas melalui proses rundingan dan persefahaman yang baik antara kerajaan dan pembangkang.
Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan apabila RUU yang dibawa oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal memperoleh sokongan dua pertiga Dewan Rakyat kerana didakwa tidak melalui proses rundingan dan penjelasan menyeluruh bersama parti-parti pembangkang.
Menurutnya, sekiranya rundingan dan libat urus yang sewajarnya diadakan lebih awal, RUU berkenaan berpotensi untuk diluluskan dengan sokongan mencukupi.
“Oleh kerana tidak ada rundingan dan libat urus yang sepatutnya, banyak perkara tidak jelas dan pembangkang mengambil pendirian berkecuali,” tegasnya melalui media sosial, hari ini.
Tambahnya, budaya politik yang matang dan berteraskan musyawarah perlu diperkukuh bagi memastikan sebarang pindaan Perlembagaan atau RUU penting negara dapat dilaksanakan secara inklusif serta mendapat mandat kukuh Dewan Rakyat.








