Accessibility Tools

Skip to main content

Tengku Mahkota Kelantan berkenan santuni anak yatim, pelajar tahfiz dan OKU berbuka puasa

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media MAIK

KOTA BHARU, 5 Mac – Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan berangkat menyantuni anak-anak yatim, pelajar tahfiz serta golongan orang kurang upaya (OKU) dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, pada Rabu.

Majlis tersebut melibatkan 92 anak-anak yatim dari Darul Aitam serta 104 pelajar Darul al-Quran di bawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), selain penyertaan golongan OKU.

Sebelum majlis iftar, Tengku Mahkota Kelantan berkenan mengurniakan sumbangan zakat kepada anak-anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan OKU sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap kebajikan serta kesejahteraan golongan berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, YBM Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Dato’ Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Faziharudean Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Dato’ Idham Abd Ghani dan Pegawai Kewangan Negeri Kelantan YB Dato’ Rosnazli Amin.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Perba Mohamad Shukri Mohamad serta Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan YAA Dato’ Ibrahim Deris.

Penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja Kelantan dalam menyantuni golongan memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, selain memperkukuh hubungan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat.