Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan kekal pengeluar tembikai terbesar negara – Exco Pertanian

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 2 Mac - Kelantan terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju sektor agromakanan negara apabila muncul sebagai pengeluar tembikai terbesar Malaysia bagi tahun 2024 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 64,827 metrik tan (MT).

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pencapaian tersebut meletakkan Kelantan di tangga pertama peringkat kebangsaan bagi komoditi berkenaan, sekali gus memperkukuh reputasi negeri sebagai hab pengeluaran makanan strategik negara.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Portfolio Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Bilangan 1/2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan Mabna-MBI, hari ini.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaras hala tuju sektor agromakanan negeri berasaskan data pengeluaran serta prestasi semasa, di samping memperkukuh strategi pembangunan pertanian yang mampan dan berdaya saing,” katanya menerusi laman rasmi.

Selain tembikai, Kelantan turut mencatat pengeluaran signifikan bagi beberapa komoditi utama lain pada tahun 2024, termasuk durian sebanyak 66,800 MT, tomato (70,681 MT), cili (17,415 MT) dan timun (20,565 MT).

Pada masa sama, Kelantan turut mendahului pengeluaran bagi beberapa komoditi lain seperti salak, lebah kelulut, kacang buncis, labu manis, ubi keledek dan jagung manis, sekali gus mencerminkan kepelbagaian serta kekuatan struktur sektor pertanian negeri.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata, kejayaan tersebut membuktikan sektor pertanian Kelantan kekal menjadi tunjang kepada agenda keterjaminan makanan negara serta pemacu ekonomi rakyat, khususnya dalam kalangan pengusaha tani dan usahawan industri asas tani.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa pengeluaran, meningkatkan nilai tambah produk serta memperluas peluang kepada agropreneur dan generasi muda supaya sektor ini kekal dinamik, berdaya tahan dan berorientasikan pasaran,” ujarnya.