Persoalan YB Siti Zailah buka ruang ketelusan agihan geran PBT
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA LUMPUR, 2 Mac — Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah Mohd Yusoff mengemukakan persoalan yang membuka ruang kepada ketelusan maklumat berkaitan pengurusan dana awam di peringkat kerajaan tempatan, sekali gus membantu rakyat memahami bagaimana peruntukan persekutuan diagihkan secara sistematik demi penyediaan perkhidmatan komuniti yang lebih berkualiti dan inklusif.
Beliau meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan secara terperinci asas kriteria serta formula yang digunakan dalam menentukan kadar pemberian Geran Keseimbangan kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Penjelasan ini penting bagi memastikan rakyat memahami mekanisme pengagihan dana serta kaedah menilai keberkesanan geran dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran dan menjamin kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan kurang berkemampuan,” katanya ketika bersidang di Dewan Rakyat, hari ini.
Susulan pertanyaan itu, Menteri KPKT YB Nga Kor Meng memperincikan mekanisme penyaluran Geran Tahunan Berasaskan Kadar Keseimbangan (GTBKK) sebagai respons terhadap isu yang dibangkitkan. Penjelasan berkenaan memberikan gambaran jelas mengenai tatacara kerajaan dalam mengimbangi agihan kewangan kepada PBT di seluruh negara, terutama bagi kawasan yang mempunyai kapasiti fiskal terhad.
YB Nga Kor Ming juga memaklumkan bahawa penyaluran geran dilaksanakan berlandaskan Akta Pemberian kepada Negeri (Penyelenggaraan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan) 1981 [Akta 245].
Beliau menjelaskan bahawa tiga kriteria utama diguna pakai dalam formula pengagihan semasa, iaitu jumlah keseluruhan penduduk, keunikan identiti PBT serta tahap pembangunan sosioekonomi kawasan berkenaan. Pendekatan tersebut bertujuan memastikan agihan dana lebih adil dan responsif terhadap keperluan setempat.
Data yang dibentangkan menunjukkan peningkatan peruntukan di bawah Belanjawan MADANI. Pada tahun 2024, sebanyak RM308.5 juta telah disalurkan kepada 150 PBT, manakala bagi tahun 2025, jumlah itu meningkat kepada RM310 juta melibatkan 151 PBT, bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan perbandaran kepada rakyat.
“KPKT melalui sistem iKPKT sedang melaksanakan kajian semula terhadap kriteria dan formula pemberian geran bagi memastikan ia kekal relevan dengan cabaran ekonomi semasa. Langkah tersebut bertujuan memperkukuh keseimbangan kewangan PBT serta menilai keberkesanan penggunaan dana dalam meningkatkan kualiti tadbir urus dan kesejahteraan komuniti,” katanya.








