600 OKU terima sumbangan Program Menggapai Keberkatan Ramadan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 2 Mac – Sebanyak 600 Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh Kelantan menerima sumbangan sempena Program Menggapai Keberkatan Ramadan OKU yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Mansor, Kampung Sireh, hari ini.
Program berkenaan adalah anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang DiPertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang menzahirkan rasa besar hati dapat bersama komuniti OKU Kelantan dalam program berkenaan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khususnya U-KeKWa dan MPPOK atas kerjasama, komitmen serta kesungguhan dalam menjayakan program tersebut, di samping menghargai semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Menurutnya, setiap individu yang diciptakan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kemahiran tersendiri yang perlu dicungkil tanpa mengira latar belakang. Golongan OKU disifatkan sebagai insan istimewa dan doa-doa mereka merupakan rahmat buat semua.
Tengku Temenggong Kelantan turut menegaskan bahawa keberadaan komuniti OKU dalam masyarakat termasuk dalam kepimpinan telah lama dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW dan wajar terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menyantuni, mengiktiraf serta mengangkat pencapaian mereka.
Tambahnya, Malaysia dan Kelantan khususnya memerlukan hala tuju yang dinamik serta strategik dalam memperkasa modal insan komuniti OKU agar segala aspek meliputi martabat, aqidah, kelangsungan hidup, hak, tanggungjawab dan perlindungan dapat dibangunkan secara lebih efisien dan efektif.
“Cabaran OKU bukan sahaja dari sudut fizikal, bahkan turut melibatkan aspek mental. Justeru, golongan ini perlu terus diperkasakan dari segi sosial, ekonomi dan politik supaya kejayaan OKU di Kelantan dapat dilihat dengan lebih jelas,” jelasnya.
Beliau turut berharap lebih ramai OKU berkemahiran dan memahami isu-isu berkaitan agar mampu menjadi pelapis kepimpinan pada masa hadapan, di samping memperkukuh aksesibiliti dalam segenap aspek selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan OKU berdaya saing dan berperanan sebagai pembimbing masyarakat.
Tengku Temenggong Kelantan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada wakil tujuh persatuan OKU di bawah MPPOK iaitu Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK), Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kelantan (SBM), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Kelantan (PERTIS), Persatuan Rekreasi Cakna OKU Kelantan (RCO), Persatuan Orang Kelainan Upaya Bekerusi Roda Kelantan (OKUSIDA) serta Persatuan Prihatin Minda Istimewa Kelantan (PAMIK).
Sumbangan yang diagihkan merangkumi wang tunai, beras, biskut dan kurma sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada komuniti OKU sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim dan timbalannya, YB Asilah Mohamed Zin, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud serta Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato' Mohd Anis Hussein bersama Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Masjid Jamek Sultan Mansor Dato' Ibrahim Deris.
















