Kelantan sebagai Hab Agro-Makanan Nasional: Unjuran Struktural Berasaskan Data 2023–2025
Oleh: Norzana Razaly
Transformasi sektor agromakanan Kelantan tidak lagi boleh dibaca dalam kerangka negeri pinggiran, sebaliknya perlu dianalisis sebagai calon hab pengeluaran makanan strategik negara. Data terkini pengeluaran hasil pertanian 2023–2025 menunjukkan asas struktur yang kukuh untuk memposisikan Kelantan sebagai pengeluar utama makanan negara sekiranya intervensi rantaian nilai dilaksanakan secara bersepadu.
Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian Negeri Kelantan , jumlah petani yang berada di bawah bimbingan mencecah 25,343 orang dengan 470 usahawan Industri Asas Tani (IAT). Secara relatif, saiz komuniti pengeluar ini bukan angka kecil. Dalam analisis agroekonomi, kekuatan sebenar terletak pada skala pengeluaran dan keupayaan pengelompokan (clusterisation). Apabila lebih 25,000 petani berada dalam satu ekosistem yang tersusun, potensi integrasi huluan dan hiliran menjadi realistik.
Dinamika produktiviti tanaman strategik
Bagi tanaman buah-buahan, tembikai mencatat produktiviti 39,133.22 metrik tan (MT) pada 2025, diikuti durian 32,324.18 MT dan pisang 25,975.00 MT. Jumlah ini menandakan Kelantan memiliki kelebihan komparatif dalam tanaman tropika bernilai tinggi. Dalam ekonomi pertanian, kelebihan komparatif perlu diterjemah kepada kelebihan daya saing melalui pemprosesan, penjenamaan dan standard eksport.
Bagi sayur-sayuran pula, tomato menunjukkan lonjakan ketara kepada 109,891.20 MT pada 2025. Angka ini signifikan kerana tomato merupakan komoditi rantaian sejuk yang sensitif. Keupayaan menghasilkan lebih 100,000 MT memberi isyarat bahawa Kelantan berpotensi menjadi pembekal utama sayuran segar ke pasaran Lembah Klang dan Selatan Thailand jika logistik diperkuat.
Selain itu, cili turut mencatat 12,540.41 MT manakala timun 21,499.14 MT pada 2025. Dari perspektif keselamatan makanan, kepelbagaian komoditi ini mengurangkan risiko ketidakstabilan bekalan domestik.
Kedudukan nasional dan daya saing
Prestasi tahun 2024 menunjukkan Kelantan menduduki tempat pertama bagi tembikai (64,827 MT) dan beberapa komoditi lain seperti salak, dokong dan ubi keledek. Dalam konteks teori lokasi pertanian Von Thünen, pencapaian ini membuktikan bahawa faktor agroekologi Kelantan sesuai untuk tanaman tertentu dan boleh dikhususkan secara zon.
Kelantan juga berada pada kedudukan kedua nasional bagi tomato (70,681 MT). Sekiranya peningkatan produktiviti dioptimumkan melalui teknologi fertigasi, automasi rumah hijau dan varieti hibrid berdaya tahan, insya Allah tidak mustahil negeri ini menjadi peneraju mutlak pengeluaran tomato negara dalam tempoh lima tahun.
Nilai tambah dan industri asas tani
Unjuran agroekonomi tidak boleh berhenti pada angka pengeluaran mentah. Nilai jualan IAT meningkat daripada RM89.27 juta (2023) kepada RM117.16 juta (2025). Kadar pertumbuhan ini menunjukkan kesan pengganda (multiplier effect) yang positif terhadap ekonomi luar bandar.
Produk bernilai tinggi seperti pastri mencatat nilai jualan RM18.46 juta, makanan ringan RM7.39 juta dan makanan sejuk beku RM7.01 juta. Struktur ini penting kerana ia menandakan peralihan daripada ekonomi komoditi kepada ekonomi pemprosesan makanan. Dalam teori rantaian nilai Porter, semakin panjang rantaian pemprosesan, semakin tinggi margin keuntungan yang dikekalkan di dalam negeri.
Dengan 4.18 juta kilogram pengeluaran IAT bernilai RM62.81 juta, Kelantan sebenarnya telah membina asas industri makanan berskala sederhana. Cabaran seterusnya ialah pensijilan halal antarabangsa, piawaian HACCP dan penembusan pasaran eksport ASEAN.
Analisis struktur dan cabaran
Walaupun angka produktiviti memberangsangkan, terdapat tiga isu struktur yang perlu diberi perhatian:
Pertama, kebergantungan kepada data belum disahkan bagi 2025 menunjukkan keperluan sistem data masa nyata. Agroekonomi moden memerlukan analitik ramalan (predictive analytics) untuk merancang eksport dan mengurus lebihan bekalan.
Kedua, isu rantaian sejuk dan logistik. Komoditi seperti tomato dan tembikai memerlukan infrastruktur penyimpanan dan pengangkutan yang efisien bagi mengurangkan susut nilai pascatuai.
Ketiga, pemusatan pengeluaran di jajahan tertentu seperti Kota Bharu dan Machang bagi IAT menunjukkan keperluan desentralisasi agar limpahan ekonomi lebih seimbang.
Strategi Kelantan sebagai Baloh Makanan Negara
Berdasarkan analisis, terdapat lima strategi utama yang berpotensi bagi Kelantan menjadi Baloh Makalan Negara.
(i) Pengkhususan Zon Agro. Kawasan berprestasi tinggi seperti pengeluaran tembikai dan tomato perlu distruktur sebagai kluster agro dengan sokongan teknologi pintar.
(ii) Integrasi Huluan-Hiliran. Petani dan usahawan IAT perlu digabung dalam model koperasi moden agar skala ekonomi dicapai.
(iii) Pelaburan Infrastruktur Pascatuai. Gudang sejuk, pusat penggredan dan pemprosesan perlu diperluas bagi mengurangkan kerugian hasil.
(iv) Pendigitalan Rantaian Bekalan. Platform e-dagang dan kontrak pintar dapat memendekkan rantaian orang tengah, meningkatkan pendapatan bersih petani.
(v) Penembusan Pasaran Eksport. Kedudukan geografi Kelantan berhampiran Thailand membuka ruang perdagangan rentas sempadan bagi buah tropika dan produk makanan diproses.
Unjuran lima tahun
Jika kadar pertumbuhan nilai IAT sekitar 10 hingga 15 peratus setahun dapat dikekalkan, nilai industri makanan Kelantan berpotensi melepasi RM200 juta menjelang 2030. Dengan pengeluaran tomato melebihi 100,000 MT dan penguasaan nasional dalam beberapa komoditi, Kelantan mampu menyumbang secara signifikan kepada Dasar Sekuriti Makanan Negara.
Secara keseluruhan, data tahun 2023 hingga 2025 memperlihatkan bahawa Kelantan telah melepasi tahap asas pengeluaran tradisional. Oleh itu, kredit wajar diberikan kepada Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan pegawai agensi serta rakan strategik yang membolehkan Kelantan kini memasuki fasa konsolidasi dan pengembangan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Melalui pelaksanaan dasar yang tepat, pembiayaan inovatif dan pengurusan rantaian nilai yang cekap, Kelantan berkapasiti menjadi negeri pengeluar bahkan berpotensi muncul sebagai hab agro-makanan strategik Malaysia atau dijenamakan sebagai Baloh Makanan Negara.
Transformasi ini berakar pada angka, produktiviti dan struktur ekonomi yang telah dibina. Kini, cabaran utama ialah mengangkat kelebihan komparatif tersebut kepada kelebihan daya saing yang mampan di peringkat nasional dan serantau.
--------
i. Pembentangan Pengeluaran Hasil Pertanian Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Bil1/2026 di Bilik Gerakan Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada 2 Mac 2026.












