PETRA sambut baik cadangan Dato’ Mumtaz lengkapi PPS, sekolah dan masjid dengan sistem storan tenaga
Oleh: Irham Hilmi Hashim dan Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 2 Mac - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz agar Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sekolah dan masjid dilengkapi sistem storan tenaga bagi memperkukuh daya tahan tenaga serta mengurangkan kos utiliti jangka panjang.
Timbalan Menteri PETRA Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad memuji keprihatinan tersebut ketika menjawab usul di bawah Perkara Tadbir Kerajaan (P.M. 17) di Dewan Rakyat.
Menurutnya, cadangan berkenaan selari dengan komitmen kerajaan untuk memperluas penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (TBB) sebagai sebahagian daripada budaya nasional dan agenda kelestarian negara.
Dalam perbahasannya, Dato’ Mumtaz menekankan bahawa masjid dan sekolah merupakan premis yang beroperasi hampir setiap hari, sekali gus menanggung kos elektrik yang tinggi. Namun, premis berkenaan mempunyai potensi besar untuk dijadikan pusat literasi teknologi hijau di peringkat komuniti.
Menjawab persoalan tersebut, Dato’ Sri Abdul Rahman memaklumkan bahawa kapasiti terpasang TBB negara kini telah mencapai 31 peratus, dengan sasaran ditingkatkan kepada 35 peratus menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, sebanyak 123 masjid di seluruh Semenanjung Malaysia telah memanfaatkan program Net Energy Metering (NEM) dengan kapasiti terkumpul 3.38 Megawatt (MWac). Negeri Perak mendahului dengan 45 masjid melibatkan kapasiti 1.0 MWac.
Sehubungan itu, PETRA membuka ruang seluas-luasnya kepada negeri-negeri lain untuk meningkatkan penyertaan institusi keagamaan dan pendidikan dalam program tenaga solar, termasuk melalui inisiatif Solar ATAP yang dilancarkan pada awal tahun 2026.
Menyentuh kebimbangan berkaitan kos operasi masjid, Abdul Rahman menjelaskan bahawa pemasangan sistem solar bagi premis dengan bil elektrik antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan memerlukan kos sekitar RM60,000 hingga RM70,000.
“Walaupun kos permulaan agak tinggi, penjimatan bil elektrik boleh mencecah sehingga 80 peratus. Masjid yang sebelum ini membayar sekitar RM1,000 sebulan berpotensi mengurangkan bayaran kepada kira-kira RM200 selepas pemasangan sistem solar,” jelasnya pada 24 Februari lalu.
Beliau bersetuju bahawa penggunaan penyaman udara yang tinggi, khususnya di masjid luar bandar, memerlukan intervensi teknologi bagi memastikan pengurusan kewangan institusi lebih mampan.
Dalam pada itu, Dato’ Mumtaz turut membangkitkan isu keadilan wilayah, khususnya bagi kawasan pesisir pantai seperti Tumpat yang menerima pendedahan cahaya matahari optimum tetapi berdepan kekangan akses pembiayaan. Beliau mempersoalkan mekanisme sokongan kepada golongan B40 agar tidak tercicir daripada arus peralihan tenaga.
Menjawab isu berkenaan, kementerian mengakui bahawa pemasangan solar ketika ini lebih efisien bagi kediaman dengan bil elektrik melebihi RM300 sebulan. Namun, kerajaan sedang meneliti model pembiayaan inovatif bagi memperluas akses kepada golongan berpendapatan rendah.
Dato’ Sri Abdul Rahman memetik contoh projek perumahan PR1MA di Pahang yang membabitkan kos pemasangan solar sekitar RM10,000 dimasukkan ke dalam pembiayaan pinjaman perumahan sebagai pendekatan bagi mengurangkan beban tunai rakyat.








