Orang ramai diminta jaga kebersihan ketika berbuka puasa di tempat awam - Exco Alam Sekitar
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 2 Mac – Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan ketika berbuka puasa di lokasi awam bagi memastikan persekitaran kekal bersih, selamat dan selesa sepanjang Ramadan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, menjadi kebiasaan masyarakat memilih untuk berbuka puasa di luar rumah bagi mencari kelainan suasana.
Menurutnya, antara lokasi pilihan termasuk masjid atau perkarangannya, hotel, warung, taman awam, dataran serta kawasan lapang milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta.
“Tidak ketinggalan lokasi tular di tepi Sungai Lembah Sireh bersebelahan Pasaraya Lotus yang turut menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa.
Namun, apa yang mendukacitakan ialah isu sampah-sarap seperti plastik bungkusan dan sisa makanan yang ditinggalkan merata-rata sehingga mencacatkan pandangan kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, hari ini.
Beliau menjelaskan, walaupun amaran telah diberikan berulang kali, perbuatan tidak bertanggungjawab itu masih berlaku.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar membuang sampah ke dalam tong yang disediakan. Sekiranya tong sampah penuh, mereka digalakkan melonggokkan sisa di tepi tong bagi memudahkan syarikat konsesi membuat pungutan atau membawa pulang bungkusan serta sisa juadah masing-masing.
Tegasnya, sekiranya perkara berkenaan terus berlarutan, pihak MPKB-BRI tidak akan teragak-agak menjalankan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB-BRI Tahun 2020.
“Tindakan boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM1,000 terhadap individu yang melakukan kekotoran di tempat awam atau memerintahkan tuan tanah serta pemegang konsesi menutup kawasan tersebut kepada orang awam,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan sebagai tanda tanggungjawab sosial dan menghormati bulan Ramadan yang mulia.
















