Terus bekerja di posisi masing-masing, lengkapi diri sebagai jundullah - MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 1 Mac - Umat Islam diseru agar terus melaksanakan tanggungjawab di posisi dan penjuru masing-masing tanpa mengabaikan tuntutan melengkapkan diri sebagai jundullah dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.
Seruan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud itu menegaskan bahawa kekuatan umat tidak terletak pada retorik semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan membina diri, memantapkan kesatuan dan memelihara amanah dalam tadbir urus serta kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 102 mengingatkan bahawa golongan yang ingkar terhadap kebenaran sering bersikap mencabar serta memperlekeh amaran para rasul, seolah-olah menunggu saat azab yang pernah menimpa umat terdahulu.
“Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka. Katakanlah: Tunggulah, sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu daripada orang-orang yang menunggu.”
Beliau turut menjelaskan, sikap ‘menunggu’ yang dirakam dalam ayat tersebut menggambarkan keangkuhan dan penghinaan terhadap seruan kebenaran yang dibawa para rasul. Namun, pada masa sama, ia menjadi peringatan tegas bahawa janji Allah SWT pasti berlaku.
“Sejarah membuktikan, keingkaran terhadap kebenaran akhirnya dibalas dengan kehancuran. Cabaran terhadap kekuasaan Allah bukanlah sesuatu yang dibiarkan tanpa pembalasan,” katanya menerusi Bingkisan Ramadan 1447H Siri Ke-11 yang dikongsikan di laman sosial, hari ini.
Beliau juga menyentuh realiti semasa yang menyaksikan umat Islam berdepan pelbagai tekanan, penindasan dan percaturan kuasa global. Namun tegasnya, umat tidak boleh sekadar menjadi pemerhati terhadap janji kemenangan Allah tanpa memenuhi prasyarat yang ditetapkan.
“Pertolongan Allah tidak hadir kepada umat yang lalai dan berpecah. Umat Islam wajib bersatu, meletakkan kepentingan agama mengatasi agenda lain serta membina kekuatan dalam semua lapangan termasuk pendidikan, ekonomi, teknologi dan pentadbiran,” ujarnya.
Dalam konteks pentadbiran negeri, beliau mengingatkan bahawa setiap amanah kuasa, walaupun dalam ruang lingkup yang terhad, mesti dijaga dengan memastikan tuntutan agama dilaksanakan secara berintegriti dan berprinsip.
Beliau memetik sambungan firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 103 sebagai jaminan bahawa pertolongan Allah pasti menyelamatkan para rasul dan orang-orang beriman yang istiqamah.
“Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman.”
Menurutnya, ayat tersebut menegaskan bahawa kemenangan bukan sekadar janji abstrak, sebaliknya satu ketetapan Ilahi yang akan dizahirkan apabila syarat keimanan, kesatuan dan pengorbanan dipenuhi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar setiap individu memainkan peranan secara optimum dalam bidang masing-masing, memperkukuh disiplin rohani dan profesional serta menjadikan Ramadan sebagai madrasah pembinaan diri.
“Teruskan bekerja dengan amanah, tingkatkan kompetensi dan pada masa sama mantapkan jiwa sebagai tentera Allah yang berpegang teguh kepada prinsip kebenaran. Itulah jalan menuju keselamatan dan kemenangan hakiki,” jelasnya.








