Accessibility Tools

Skip to main content

Hadanah Madinah Ramadan efektif, rekod lebih 150 kehadiran sehari

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 2 Mac — Penyediaan hadanah (pusat jagaan kanak-kanak) sempena program Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, terbukti berkesan apabila merekodkan kehadiran melebihi 150 kanak-kanak setiap hari sepanjang penganjuran program berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, kemudahan tersebut diwujudkan bagi memudahkan ibu bapa menunaikan ibadah dalam suasana lebih tenang dan khusyuk tanpa kebimbangan terhadap aspek keselamatan anak-anak.

Menurutnya, pusat hadanah berkenaan menyediakan ruang yang selamat, teratur dan kondusif, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan bersifat inklusif serta mesra keluarga.

“Usaha ini mencerminkan keprihatinan terhadap ibu bapa yang ingin mengimarahkan Madinah Ramadan, khususnya ketika menunaikan solat sunat tarawih dan mengikuti pengisian rohani yang diadakan.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran melebihi 150 kanak-kanak setiap hari. Ini menunjukkan keperluan kemudahan seperti ini dalam program berskala besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penyediaan pusat jagaan tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada ibu bapa, malah menjamin kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sepanjang tempoh program berlangsung.

Tambahnya, inisiatif itu diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kehadiran masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan Madinah Ramadan, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya keberkatan bulan yang mulia ini.

“Semoga usaha ini menjadi asbab lebih ramai rakyat hadir mengimarahkan program yang dianjurkan, seterusnya memperkukuh suasana ibadah dan ukhuwah sepanjang Ramadan,” ujarnya.

Di pusat berkenaan, sukarelawan Madinah Ramadan turut ditempatkan bagi memantau keselamatan kanak-kanak selain mengendalikan aktiviti santai dan bermanfaat sebagai pengisian masa.