2,000 muslimat meriahkan Program Nur Ramadan Wanita Peringkat Negeri Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KUBANG KERIAN, 27 Februari – Seramai 2,000 muslimat dari seluruh negeri termasuk dari Gua Musang dan Jeli hadir memeriahkan Program Nur Ramadan Wanita Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M.
Program kerohanian anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan itu berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, semalam.
Dalam ucapan perasmian, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir sebagai tanda sokongan dan semangat mengimarahkan Ramadan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada 2,000 muslimat yang hadir, ada yang datang dari jauh seperti Gua Musang dan Jeli. Tahniah kepada semua. Insya-Allah ganjaran di sisi Allah SWT amat besar,” katanya.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud
Beliau turut menyeru agar para muslimat menjadi wanita yang solehah dan muslihah, bukan sahaja memperbaiki diri bahkan berperanan memperbaiki masyarakat melalui budaya tegur-menegur dan hormat-menghormati sesama insan.
Menurutnya lagi, sejarah keluarga para nabi dan sahabat menunjukkan bahawa mereka bukan dalam kalangan orang senang, namun apabila dikurniakan rezeki, mereka menginfakkannya ke jalan Islam bagi menegakkan perjuangan agama.
“Kita apabila diminta untuk bersedekah, berilah setakat kemampuan yang ada dengan mengharapkan pahala yang dapat mengeluarkan kita daripada kemurkaan Allah dan ditempatkan dalam syurga, khususnya dalam bulan Ramadan al-Mubarak,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada pihak penganjur daripada JAHEAIK atas komitmen menjayakan program berimpak besar kepada pembangunan rohani wanita di negeri ini.
Antara pengisian utama program ialah solat hajat berjemaah, tadarus 30 juzuk al-Quran dengan konsep seorang peserta satu juzuk serta forum kupasan Teks Tadarus Ramadan Negeri Kelantan yang membincangkan Surah al-Anfal ayat 24 hingga 28.
Forum tersebut menampilkan pendakwah selebriti Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Timbalan Rektor Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr. Nurul Akma Mohamed sebagai panelis.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah JAHEAIK Dr. Hasnan Ramli, isteri Menteri Besar Kelantan Datin Panglima Perang Ustazah Datin Wan Nor Hanita Wan Yaakob serta isteri-isteri pemimpin negeri.














