Madinah Ramadan beri peluang warga bandar berjemaah imarahkan Ramadan - MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 27 Februari - Kerajaan Negeri Kelantan mewujudkan program Madinah Ramadan dengan menganjurkan solat sunat tarawih di tengah-tengah bandar bagi memberi ruang dan peluang kepada warga kota mengimarahkan bulan Ramadan secara berjemaah.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata penganjuran program itu bertujuan membuka peluang kepada penduduk sekitar untuk bersama-sama menunaikan solat tarawih selain menghidupkan budaya tadarus al-Quran sepanjang Ramadan.
Katanya, program berkenaan mendapat sambutan masyarakat tempatan dan turut menarik kehadiran jemaah dari luar Kelantan yang ingin merasai kemeriahan suasana Madinah Ramadan.
“Ini adalah usaha kita untuk menarik masyarakat menunaikan solat tarawih dan pada masa sama kita menyediakan teks tadarus bagi menggalakkan orang ramai bertadarus.
“Kita di Kelantan telah membudayakan program tadarus lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Jadi marilah sama-sama kita merebut peluang ini dan menjadikan Ramadan tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Madinah Ramadan 1447H di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut termasuk kepada penyumbang serta menyifatkan setiap sumbangan yang diberikan akan memperoleh ganjaran berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.
Menteri Besar turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan memetik kata-kata Sayyidina Ali bahawa sesiapa yang hari ini lebih baik daripada semalam adalah orang yang beruntung, manakala yang hari ini sama seperti semalam adalah orang yang rugi dan terpedaya, dan yang lebih buruk daripada semalam adalah golongan yang dilaknat.
Dalam majlis sama, Dato' Mohd Nassuruddin turut melancarkan dua buah buku iaitu “Madinah Ramadan Evolusi Syiar Islam di Kota Bharu: Manifestasi Dasar Membangun Bersama Islam dan Kelantan Sejahtera 2033” karya Wan Syarafi Wan Mustafa serta buku “Infaq Pelaburan Dunia dan Akhirat” terbitan Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG).
Hadir sama, Penasihat IPTG yang juga mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Ahmad Yakob, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Rakyat (ADR), Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) , Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam ( MPKB-BRI) Dato' Zulkifle Abdul Rahman, Setiausaha MPKB-BRI Mohamad Othman serta Ahli-ahli Majlis MPKB-BRI.
















