Accessibility Tools

Skip to main content

16 sekolah YIK terima sumbangan pemerkasaan RM5,000

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Sebanyak 16 Sekolah Menengah Ugama (SMU) di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terpilih menerima sumbangan pemerkasaan berjumlah RM5,000 setiap sekolah.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hasan kepada pengetua atau wakil sekolah di bilik Mesyuarat Timbalan Menteri Besar, Mabna Kompleks Kota Darulnaim semalam;

Sehubungan itu, Dato’ Mohamed Fadzli berkata, sumbangan tersebut bertujuan memperkukuhkan kelangsungan dan daya saing intitusi pendidikan Islam di Kelantan.
Menurutnya lagi, sumbangan itu juga sebagai tanda komitmen kerajaan negeri yang berterusan dalam memastikan SMU kekal relevan, diyakini dan berdaya saing dalam landskap pendidikan yang semakin mencabar.

Jelasnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pentadbir Tabung Kumpulan Wang Kebajikan dan Pelajaran YAKIN Bilangan 3 Tahun 2025 yang meneliti rekod semasa kemasukan pelajar ke SMU di negeri ini.

"Hasil daripada penelitian tersebut, sebanyak 16 sekolah dikenal pasti layak menerima sumbangan dengan mengambil kira faktor bilangan pelajar semasa yang memerlukan pengukuhan serta sokongan tambahan bagi memastikan kelangsungan institusi terus terpelihara.

"Setiap sekolah diperuntukkan RM5,000 bagi membolehkan pihak pentadbiran merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi, termasuk usaha meningkatkan keterlihatan institusi, memperkukuh keyakinan ibu bapa serta memperluas akses pendidikan Islam kepada masyarakat setempat,” hurainya menerusi media sosial pada Rabu.

Tambahnya, langkah strategik tersebut diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan enrolmen pelajar, memperkasa kualiti penyampaian pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti yang menjadi aset penting kepada negeri ini.

Beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM54,480.00 Kepada Pusat Bahasa Arab YIK bagi program al-Muhkayyam al-Lughawi dalam usaha memperkasakan Bahasa Arab bagi pelajar tingkatan satu dan dua untuk lapan siri.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar dan Pengarah YAKIN Nik Jesim Tan Sri Nik Hashim.