Projek Madinah As-Salam distruktur semula: Wisma Tanah siap 85 peratus, komponen lain dilaksana berperingkat
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Projek pembangunan Madinah As-Salam memasuki fasa penstrukturan semula susulan penilaian teknikal mendapati beberapa kawasan tapak memerlukan rawatan tanah sebelum pembinaan komponen lain dapat diteruskan,namun kemajuan pembinaan Wisma Tanah kekal memberangsangkan apabila mencapai tahap siap 85 peratus.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, selain Wisma Tanah, pembinaan Dewan Serbaguna juga telah memulakan kerja-kerja asas pembinaan dan kedua-dua komponen utama itu akan diteruskan sehingga siap.
“Wisma Tanah telah mencapai 85 peratus tahap siap, manakala Dewan Serbaguna telah memulakan kerja-kerja asas pembinaan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Beliau menjelaskan, proses penyusunan semula dibuat setelah penilaian teknikal mengesahkan sebahagian kawasan projek merupakan bekas tapak sawah padi yang memerlukan kerja penstabilan serta rawatan tanah bagi menjamin keselamatan dan ketahanan struktur binaan.
“Di peringkat penyusunan semula ini, beberapa perkara akan diperbaiki dari sudut perancangan seperti rawatan tanah dan sebagainya bagi menyesuaikan dengan keadaan sebenar tapak,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun berlaku pelarasan perancangan, perkembangan pembinaan beberapa komponen utama projek menunjukkan hala tuju yang positif, manakala komponen lain akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kesiapsiagaan tapak.
Tambahnya, tumpuan akan diberikan kepada pembinaan struktur asas terlebih dahulu sebelum pembangunan seterusnya dilaksanakan bagi memastikan kelancaran projek dalam jangka masa panjang.
“Pembinaan komponen lain akan diberi tumpuan kepada pembinaan struktur-struktur asas terlebih dahulu sebelum pembangunan seterusnya dilaksanakan, bagi memastikan kelancaran projek dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Untuk rekod, Projek Madinah As-Salam yang mengetengahkan konsep bandar hijau dan bandar pintar dibangunkan di kawasan seluas 47 hektar di Mukim Tiong, Kota Bharu.
Projek berkenaan menjadi model fizikal dasar Membangun Bersama Islam yang diterjemahkan melalui pembangunan beberapa komponen termasuk masjid, Wisma Tanah, dewan serbaguna, kompleks sukan renang serta perumahan berkonsep keselamatan terbaik.








