Kelantan negeri pertama lancar Bulan Emas 2026
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 25 Februari – Kelantan mencatat sejarah sebagai negeri pertama di negara ini yang melancarkan Kempen Bulan Emas Kelantan 2026 secara rasmi bagi memperkukuh budaya simpanan emas dalam kalangan rakyat sebagai strategi perancangan kewangan jangka panjang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata inisiatif tersebut diperkenalkan selaras dengan keperluan semasa yang menuntut masyarakat memiliki aset lindung nilai yang stabil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, kerajaan negeri melihat emas sebagai instrumen kewangan yang semakin relevan kerana keupayaannya mengekalkan nilai dalam keadaan pasaran yang berubah-ubah.
“Kerajaan negeri melihat emas sebagai medium lindung nilai yang relevan, terutama dalam keadaan pasaran yang tidak menentu. Justeru, Bulan Emas diperkenalkan untuk menggalakkan budaya menyimpan emas dalam kalangan rakyat,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Kempen yang berlangsung sepanjang 1 hingga 31 Mac itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa emas bukan sekadar perhiasan, sebaliknya aset fizikal yang stabil dan mampu menjadi sandaran ekonomi keluarga dalam jangka panjang.
Beliau juga menjelaskan, penganjuran kempen berkenaan bertepatan dengan ketibaan bulan Ramadan serta persediaan menjelang Aidilfitri, iaitu tempoh yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan terhadap emas dalam kalangan pengguna.
Selain menggalakkan simpanan individu, inisiatif tersebut turut dijangka memberi kesan positif kepada industri emas tempatan melalui penglibatan aktif pengusaha kedai emas menerusi pelbagai promosi dan tawaran diskaun khas sepanjang tempoh kempen.
Tambahnya, pendekatan yang diperkenalkan kerajaan negeri itu diharap mampu membentuk kesedaran baharu dalam masyarakat supaya emas dilihat sebagai instrumen pengurusan kewangan yang berdaya tahan, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan kestabilan ekonomi isi rumah rakyat Kelantan.
Kempen tersebut dijayakan oleh Tourism Malaysia Kelantan bersama pemain industri emas tempatan seperti Kelantan Gold Trade (KGT), peniaga emas Pasar Siti khadijah dan usahawan Taman Emas Malaysia (TEM).














