Accessibility Tools

Skip to main content

Ramadan bulan ibadah, peniaga diseru jaga adab dan tatasusila – Exco Agama

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 25 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru rakyat Kelantan khususnya para peniaga agar sentiasa menjaga adab, tatasusila serta mematuhi undang-undang dalam menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, Ramadan merupakan bulan ibadah yang menuntut umat Islam memelihara akhlak dan sensitiviti masyarakat, lebih-lebih lagi dalam ruang awam yang menjadi tumpuan ramai.

Menurutnya, isu tular melibatkan seorang lelaki berpakaian menyerupai duyung Sabtu lalu wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak menjadikan promosi perniagaan sebagai alasan untuk melampaui batas.

“Kerajaan negeri mengharapkan rakyat agar menjaga tatasusila dan budaya masyarakat Melayu Kelantan. Perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini di negeri kita.

“Mungkin pelaku tidak terfikir bahawa perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan dan sekadar menganggapnya sebagai gurauan. Namun apabila pihak penguat kuasa mengambil tindakan, barulah timbul rasa menyesal. Kita tidak mahu menyesal kemudian hari,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat exco di Mabna, hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa dalam enakmen sedia ada, telah diperuntukkan kesalahan melibatkan lelaki berpakaian seperti wanita di bawah Perkara 19 dan wanita berpakaian seperti lelaki di bawah Perkara 18.

“Undang-undang ini telah lama ditetapkan bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat negeri Kelantan. Jika berlaku pelanggaran, kerajaan perlu bertegas dan tidak boleh mengambil ringan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam suasana Ramadan yang menyaksikan ramai peniaga mengambil peluang berniaga, aspek adab dan kepatuhan undang-undang perlu diberi perhatian serius.

“Identiti rakyat Kelantan adalah masyarakat yang beragama. Apabila sesuatu isu menjadi tular, ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat tetapi turut memberi imej kepada negeri dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga agar mencari rezeki secara beretika dan beradab, serta memastikan setiap bentuk promosi tidak bercanggah dengan nilai agama dan norma masyarakat demi menjaga keharmonian sepanjang bulan Ramadan.