Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Mohamed Fadzli Hassan


Lelaki berpakaian duyung telah ditahan, disiasat mengikut Kanun Jenayah Syariah

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 25 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan seorang lelaki yang tular kerana berpakaian menyerupai duyung di Pengkalan Chepa telah disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang syariah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakaman video yang tular pada 21 Februari lalu memaparkan individu berkenaan melakukan aksi tidak sopan telah dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati individu terbabit telah dikenal pasti dan satu kertas penyiasatan dibuka. Suspek dipanggil hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK pada 23 Februari 2026 bagi tujuan merekod keterangan.

“Suspek telah diisytiharkan tangkap di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak seperti perempuan dan Seksyen 21 iaitu perbuatan tidak sopan di bawah Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.

“Selepas proses dokumentasi dan siasatan awal, suspek dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun 2026 bagi tujuan prosiding seterusnya,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau menjelaskan, pelaku bukan pemilik gerai jualan berkenaan sebaliknya diupah bagi tujuan promosi untuk melariskan jualan.

“Mungkin pelaku tidak mengetahui perbuatan tersebut adalah satu kesalahan. Namun dalam undang-undang, sama ada kita tahu atau tidak, ia tetap dianggap sebagai kesalahan dan tindakan mesti diambil sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berulang.

“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai-nilai syariah serta norma masyarakat akan diberi tindakan secara tegas, berhemah dan mengikut undang-undang,” ujarnya.

Timbalan Menteri Besar turut menasihati rakyat Kelantan agar sentiasa memastikan setiap tindakan tidak melanggar undang-undang, norma budaya setempat dan ajaran agama, lebih-lebih lagi dalam suasana bulan Ramadan yang menuntut kepekaan serta penghormatan terhadap nilai masyarakat.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan pelaku terbabit diupah sebanyak RM200 oleh seorang peniaga air balang yang memiliki lesen menjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

Menurutnya, kandungan video tersebut dirakam sebelum Ramadan namun dimuat naik ke media sosial ketika bulan puasa.

“Kita terus ke lokasi khemah jualan selepas menerima maklumat dan telah mengeluarkan notis supaya video tersebut dipadamkan dan video berkenaan telah dipadamkan.

“Kita tidak dapat mengenakan kompaun kerana peniaga mempunyai lesen sah dan dalam undang-undang kecil sedia ada tiada peruntukan khusus bagi kesalahan melibatkan promosi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata semua PBT telah diminta meneliti cadangan memasukkan klausa baharu dalam undang-undang kecil perniagaan berkaitan larangan promosi yang tidak patuh syariah atau bertentangan dengan adab susila.

Tambahnya, peniaga terbabit kini telah menghentikan operasi dan menutup gerai susulan kecaman masyarakat. Gerai berkenaan dilaporkan beroperasi di hadapan Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan terus menjalankan pemantauan di tapak khemah dan bazar Ramadan bagi memastikan penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.