Petugas barisan hadapan disantuni sempena Ramadan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Wakaf Bharu
TUMPAT, 25 Februari – Para petugas barisan hadapan disantuni Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah bersama petugas Pusat Khidmat DUN Wakaf Bharu dengan menyampaikan sumbangan buah kurma sempena Ramadan.
Menurut YB Mohd Rusli, kunjungan tersebut melibatkan kakitangan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, Pejabat Pos Wakaf Bharu, Balai Polis Wakaf Bharu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kampung Belukar serta Balai Bomba Wakaf Bharu.
Beliau berkata, sumbangan itu merupakan tanda ingatan dan penghargaan kepada petugas yang terus komited menjalankan amanah serta tanggungjawab tanpa mengira masa, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang tidak pernah putus kepada masyarakat Wakaf Bharu. Semoga Allah mempermudah segala urusan dan seluruh kakitangan sentiasa berada dalam lindungan Allah, dikurniakan kesihatan yang baik serta kekuatan untuk terus berbakti,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Tambahnya, kehadiran pasukannya juga sebagai sokongan moral kepada barisan hadapan yang menjadi tunjang kelancaran perkhidmatan kesihatan, keselamatan, komunikasi dan utiliti di kawasan berkenaan.
















