Kelantan perkasakan agroekonomi orang asli
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 25 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan memfokus usaha memperkasakan pengembangan agroekonomi dalam kalangan masyarakat orang asli agar mereka terus berdaya saing dan mempunyai sumber pendapatan yang mampan.
Komitmen tersebut hasil perbincangan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail bersama wakil penghulu orang asli dari Gua Musang yang diketuai oleh Penghulu Orang Asli Dewan Negeri (DUN) Galas Jumaat Abak di pejabatnya, semalam.
Dato'Tuan Mohd Saripudin berkata, dalam pertemuan tersebut, perbincangan ditumpu terhadap kepentingan memperkukuh sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama komuniti, termasuk meningkatkan kemahiran, akses kepada teknologi moden dalam usaha untuk meningkatkan sumber pendapatan golongan terbabit.
Usaha bersepadu dilihat mampu membantu masyarakat orang asli meningkatkan produktiviti sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.
Selain itu, cadangan bagi memperluas peluang keusahawanan berasaskan sumber tempatan turut diketengahkan sebagai langkah memperkukuh rantaian ekonomi di peringkat komuniti.
Pendekatan pembangunan yang lebih inklusif dan bersasar diyakini dapat memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
"Insya Allah, segala cadangan dan keperluan yang dibangkitkan akan diteliti serta diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkaitan. Langkah itu penting bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti setempat secara menyeluruh dan berterusan" katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Pendekatan berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak diharap dapat memperkukuh daya tahan ekonomi masyarakat orang asli, selaras dengan hasrat untuk melahirkan komuniti yang lebih berdaya saing dan mapan pada masa hadapan.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Masyarakat Orang Asli Galas Atan Sudin dan Ketua Masyarakat Orang Asli Sigar Encik Moya.










