Dengki, iri hati punca perselisihan manusia – Exco Agama
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 Februari - Perasaan dengki, iri hati dan tidak berpuas hati dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya perselisihan serta pertelingkahan dalam kalangan manusia sehingga boleh membawa kepada jenayah berat termasuk pembunuhan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara tersebut dapat dilihat menerusi kisah pertelingkahan pertama manusia iaitu antara Qabil dan Habil sehingga membawa kepada pertumpahan darah sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran.
Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Al-Qur'an, Surah Al-Maidah ayat 31 yang bermaksud: “Kemudian, Allah mengirim seekor burung gagak untuk menggali tanah supaya memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana cara mengubur mayat saudaranya (Habil). (Qabil) berkata, ‘Celakalah aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini sehingga aku dapat mengubur mayat saudaraku?’ Maka, jadilah dia termasuk orang-orang yang menyesal.”
Menurut beliau, kisah tersebut menjelaskan bagaimana rasa tidak puas hati Qabil terhadap Habil dalam urusan penentuan pasangan membawa kepada perintah supaya kedua-duanya mempersembahkan korban.
“Habil mempersembahkan ternakan terbaik dan diterima, manakala Qabil memberikan hasil tanaman yang kurang baik lalu ditolak. Dari situlah timbul rasa dengki dan iri hati yang akhirnya membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia,” katanya menerusi ruangan Tawasau yang disiarkan di media sosial pada Isnin.
Jelas beliau lagi, hasutan syaitan yang menyemarakkan perasaan negatif itu akhirnya mendorong Qabil bertindak membunuh saudaranya sendiri.
Katanya, susulan kejadian itu, Allah SWT mendatangkan seekor burung gagak yang menggali tanah sebagai petunjuk kepada Qabil mengenai cara mengebumikan mayat, memandangkan ketika itu belum ada contoh pengebumian.
“Walaupun Qabil menyesal selepas itu, penyesalan tersebut sudah tidak berguna kerana nyawa Habil tidak dapat dikembalikan. Kisah ini menjadi pengajaran besar bahawa punca perselisihan manusia berpunca daripada hati yang dipenuhi sifat mazmumah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap musuh paling hampir iaitu hawa nafsu dan bisikan hati sendiri.
“Hendaklah kita melazimi istighfar, zikir-zikir ma’thur, bermuhasabah serta mendoakan kesejahteraan saudara kita. Kawalan nafsu dalam setiap tindakan amat penting bagi mengelakkan konflik berpanjangan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar masyarakat menjauhi sikap pentingkan diri serta pengaruh negatif persekitaran yang boleh merosakkan sifat mahmudah dalam diri.
“Setiap konflik perlu diselesaikan menurut pendekatan Islam melalui muhasabah dan perbincangan secara harmoni. Menyemai kemarahan berterusan hanya akan membawa kemusnahan sebagaimana yang berlaku dalam kisah Qabil dan Habil,” katanya.








