Kerajaan negeri santuni rakyat dari bayi hingga ke akhir hayat
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 24 Februari – Kerajaan negeri melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKeKWa) mengambil pendekatan kebajikan menyeluruh yang merangkumi setiap fasa kehidupan rakyat bermula daripada bayi sehingga ke akhir hayat melalui pelbagai inisiatif berstruktur di peringkat Parlimen dan DUN.
“Kita santuni semua golongan masyarakat bermula dari bayi hingga ke meninggal dunia. UKeKWa adalah urus setia yang perlu sentiasa cakna kepada semua masyarakat.
"Setakat ini kita telah buat yang terbaik menyantuni masyarakat di peringkat parlimen dan DUN. Tahniah dan terima kasih kepada semua petugas yang telah membantu menjayakan program-program kebajikan.”
Demikian ucapan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim ketika merasmikan Taklimat Pelaksanaan Program dan Aktiviti UKeKWa 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pelaksanaan program mesti mematuhi prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti. Taklimat tersebut memberi penekanan kepada perancangan awal, pemantapan tadbir urus serta pemantauan berkala antara agensi dan rakan pelaksana bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar.
Sementara itu, Pengarah UKeKWa Ilvira Mohd Dasuki memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, seramai 101,413 rakyat Kelantan telah disantuni melalui pelbagai program kebajikan yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat.
Pengarah UKeKWa, Ilvira Mohd Dasuki
Menurutnya, antara program yang telah dilaksanakan termasuk Ziarah Skuad Kita Cakna yang menyantuni 4,500 rakyat, selain Bengkel Parenting 360 Darjah: Bijak Didik, Anak Cerdik 2025 yang melibatkan 7,650 peserta serta program Kelantanku Cakna yang memberi manfaat kepada 35,315 penerima.
Dalam masa sama, Skim Anak Yatim (SPY) – Diraasah Pendidikan membantu seramai 2,881 anak yatim, manakala Bantuan Ma’aruf OKU memanfaatkan 1,400 penerima. Tabung Usahawan Wanita pula menyokong 222 usahawan kecil wanita untuk terus berdaya saing, diikuti Skim Cakna Suri yang menyalurkan sumbangan RM200 kepada 500 suri rumah serta Skim Cakna Aulad yang menyediakan Tabungan Manjaku (emas/dirham) kepada 817 bayi baharu lahir.
Manakala Bantuan Khas Pesakit Kanser Payudara turut memberi manfaat kepada 223 wanita sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesihatan golongan berkenaan.














