Accessibility Tools

Skip to main content

5,000 polibeg cili jana potensi RM150,000, hidupkan tanah terbiar di Kemumin

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Datuk Marzuk

PENGKALAN CHEPA, 23 Februari – Projek tanaman cili secara berkelompok di sebelah padang golf Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa yang diusahakan oleh Zainal Abdullah, 58 atau lebih dikenali sebagai Pak Nal menjadi contoh kejayaan usaha menghidupkan kembali tanah yang pernah terbiar, sekali gus berpotensi menjana pendapatan mencecah RM150,000 bagi satu pusingan tuaian.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau sempat singgah menziarahi projek berkenaan yang kini mengusahakan sebanyak 5,000 polibeg cili menggunakan kaedah pembajaan AB melalui sistem pengairan titisan (drip).

Menurutnya, penggunaan sistem tersebut memastikan nutrien disalurkan secara tepat ke akar tanaman, sekali gus meningkatkan kecekapan dan produktiviti hasil.

“Setiap polibeg dianggar menghasilkan kira-kira 10 kilogram cili sepanjang tempoh tiga bulan. Dengan nilai sekitar RM30 bagi setiap pokok, keseluruhan projek ini berpotensi menjana sekitar RM150,000 dalam satu pusingan tuaian,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau, semalam.

Beliau turut berkongsi bahawa dalam perbualan bersama pengusaha mengenai jangkaan hasil dan tarikh pengeluaran, pendekatan yang diambil bukan sekadar bersandarkan teori dan pengiraan semata-mata.

“Setiap unjuran sering diiringi ungkapan ‘dengan izin Allah’. Apabila pokok berbunga lebih awal daripada jangkaan, yang terbit di bibir ialah ‘Allah Maha Kuasa, Allah rezekikan’. Di situ terpancar gabungan antara ilmu, usaha dan tawakkal kepada Pemilik rezeki,” jelasnya.

Tambah Datuk Marzuk, pasaran bagi hasil tanaman tersebut juga telah tersedia dan menunggu pengeluaran, membuktikan bahawa pertanian yang dirancang dengan strategi dan pengurusan baik mampu mengangkat ekonomi setempat. 

Beliau merakamkan tahniah kepada pengusaha projek bersama seluruh pasukan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.