i-AWARE anjur IFFAH 1.0, himpun dana bantu wanita di zon krisis
Oleh: Norzana Razaly
CYBERJAYA, 25 Februari – Pertubuhan Antarabangsa untuk Advokasi dan Reformasi Wanita (i-AWARE) meneruskan komitmen kemanusiaannya melalui penganjuran Iftar for Humanity (IFFAH 1.0) bagi menghimpun dana dan bantuan kewangan untuk wanita di zon krisis, termasuk di Palestin, Yaman dan Syria.
Pengerusi i-AWARE yang juga Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, penderitaan yang dialami umat Islam di seluruh dunia, khususnya golongan wanita di negara-negara bergolak, merupakan isu yang wajib diberi perhatian serta dipikul sebagai tanggungjawab bersama umat Islam.
Menurutnya, pelbagai inisiatif seperti program literasi, advokasi dan kempen kesedaran telah digerakkan sebelum ini bagi menzahirkan simpati serta empati terhadap nasib mangsa konflik.
“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk menghimpunkan para penginfak serta menyampaikan bantuan kewangan kepada wanita-wanita yang berada di negara berkrisis.
“Saya ingin tekankan bahawa isu dan agenda wanita Islam antarabangsa bukan hanya perlu diberi perhatian oleh kaum lelaki, tetapi wanita sendiri perlu tampil ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis IFFAH 1.0 di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dato’ Mumtaz berkata majlis iftar berkenaan menjadi medan pertemuan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para dermawan, sekali gus turut diisi dengan forum solidariti yang menampilkan tokoh serta aktivis kemanusiaan yang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.
Dato’ Mumtaz turut memaklumkan sambutan terhadap inisiatif kutipan dana itu amat menggalakkan, khususnya menjelang Ramadan.
“Alhamdulillah, berkat kedatangan Ramadan, meja-meja jualan bagi kutipan dana yang pada awalnya masih berbaki akhirnya berjaya dilangsaikan.
“Insya-Allah, puluhan ribu dana yang kita terima ini akan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai autoriti untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan umat Islam tidak seharusnya sekadar menyaksikan pengorbanan dan air mata mangsa peperangan dari jauh, sebaliknya perlu menterjemahkan solidariti dalam bentuk bantuan kewangan yang nyata.
“Apabila wanita menderita, anak-anak dan keluarga mereka juga turut menderita. Semoga usaha kecil ini menjadi tanda amal jariah kita di jalan Allah SWT.
“Kita mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kemenangan kepada saudara-saudara kita di sana, serta mengizinkan kita suatu hari nanti menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang dibebaskan,” katanya.














