100,000 ekor ayam sokong operasi SABA Fried Chicken di Wakaf Bharu
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
TUMPAT, 22 Februari – Lebih 100,000 ekor ayam pedaging yang diternak di Kampung Padang Mandol, Wakaf Bharu menjadi tulang belakang kepada operasi rangkaian restoran SABA Fried Chicken, sekali gus merancakkan industri ayam pedaging di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah telah mengadakan lawatan ke pusat ternakan ayam pedaging milik Saba pada 16 Februari.
Menurutnya, pusat ternakan tersebut beroperasi dalam blok ternakan tiga tingkat yang direka bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih sistematik dan efisien, selaras dengan keperluan pasaran semasa.
“Ayam ternakan ini menjadi sumber bekalan utama kepada rangkaian restoran SABA Fried Chicken,” katanya di laman rasmi pada Isnin.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan teknologi ternakan moden serta pemantauan biosekuriti yang berterusan menjadi antara faktor utama dalam memastikan kualiti dan keselamatan bekalan ayam sentiasa terjamin.
Tambahnya, usaha memperkukuh industri ayam pedaging amat penting dalam memastikan bekalan makanan negeri kekal stabil, terutama menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.
Sementara itu, ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah memaklumkan bahawa SABA Fried Chicken kini mempunyai lima cawangan.
"SABA Fried Chicken kini mempunyai lima cawangan dan bakal mengorak langkah memperluaskan perniagaan dengan pembukaan cawangan baharu di Lotus’s Mall" katanya di laman rasmi pada Isnin.
Tambahnya, perkembangan tersebut mencerminkan potensi besar usahawan tempatan dalam membina jenama sendiri yang berdaya saing, selain memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
















