Accessibility Tools

Skip to main content

SUKMA 2028 jadi agenda besar, Kelantan rangka Garis Panduan Sukan Mesra Islam

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 22 Februari – Hasrat menjadikan Kelantan sebagai model penganjuran sukan mesra Islam menjadi antara harapan terbesar Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad dalam portfolio sukan yang diterajui beliau.

Perkara itu dikongsikan menerusi penampilan beliau dalam The Amin Idris Show bertajuk Belia Kelate: Peluang Kerja, Migrasi, Hiburan dan Pawagam yang ditayangkan di saluran YouTube rasmi rancangan berkenaan pada 15 Februari lalu. 

Menurut beliau, penganjuran Sukan Malaysia 2028 (SUKMA 2028) yang bakal berlangsung di Kelantan merupakan agenda besar kerajaan negeri dan menjadi fokus utama dalam perancangan pembangunan sukan.

“Menjadi agenda besar di Kelantan, kita akan jadi tuan rumah SUKMA 2028. Antara cabaran Kelantan adalah macam mana kita nak jadi tuan rumah SUKMA dengan isu-isu yang berkait dengan aurat. Ini satu cabaran besar untuk Kelantan uruskan sukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi mendepani cabaran tersebut, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama golongan profesional dan akademik daripada Universiti Malaya melibatkan Jabatan Syariah dan Jabatan Sukan bagi menyediakan satu Garis Panduan Sukan Mesra Islam.

Menurutnya, garis panduan tersebut dibangunkan hasil sesi libat urus bersama kementerian, persatuan-persatuan sukan termasuk para atlet bagi memastikan ia bersifat inklusif, praktikal dan boleh diterima semua pihak.

YB Zamakhshari menzahirkan harapan agar garis panduan berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan penganjuran SUKMA 2028, malah mampu menjadi rujukan dan model kepada penganjuran sukan mesra Islam di peringkat lebih luas.

“Harapnya garis panduan tersebut, SUKMA Kelantan 2028 akan menjadi model kepada sukan yang mesra Islam,” ujarnya.