Accessibility Tools

Skip to main content

Umat Islam diseru agar dapat membezakan janji Allah SWT yang benar dan janji syaitan yang palsu

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 Februari – Umat Islam diseru agar membezakan antara janji Allah SWT yang benar dan janji syaitan yang palsu sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran, kata YAB Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, Allah SWT tidak sesekali memungkiri janji-Nya dan kebenaran firman-Nya telah terbukti melalui ayat-ayat suci serta kesan sejarah yang dapat disaksikan hingga ke hari ini.

Menurutnya, secara umumnya terdapat dua jenis janji yang disebut dalam al-Quran iaitu janji Allah SWT yang benar serta janji syaitan yang penuh dengan tipu daya.

Mengambil contoh, YAB Menteri Besar memetik ayat 13 daripada Surah al-Qasas yang menjelaskan kisah kelahiran Nabi Musa AS yang diselamatkan daripada ancaman Firaun melalui ilham Allah SWT kepada ibunya.

“Allah SWT menjanjikan bahawa Nabi Musa akan dikembalikan semula kepada ibunya, walaupun pada zahirnya keadaan ketika itu amat mustahil. Namun akhirnya janji tersebut benar-benar berlaku sebagaimana firman Allah yang bermaksud "supaya ia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar’."

Beliau berkata demikian dalam Bingkisan Ramadan 1447H Siri 3 yang disiarkan menerusi media sosialnya pada, Sabtu.

YAB Dato' Mohd Nassuruddin turut mengingatkan bahawa al-Quran juga mendedahkan janji syaitan yang bersifat palsu dan memperdayakan manusia.

Beliau merujuk ayat 64 daripada Surah al-Isra’ bahawa Allah SWT menegaskan tentang segala pujuk rayu dan desakan syaitan hanyalah tipu daya semata-mata.

“Firman Allah bermaksud: ‘Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.’ Ini menunjukkan bahawa janji syaitan tidak membawa kepada kebenaran, sebaliknya menyesatkan manusia dari jalan yang lurus,” jelasnya.

Tambah YAB Menteri Besar lagi, orang beriman sudah tentu akan memilih janji Allah SWT yang benar, manakala mereka yang jauh daripada petunjuk al-Quran mudah terpedaya dengan keindahan janji palsu syaitan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam agar sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dan memohon hidayah Allah SWT supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial akibat terpengaruh dengan tipu daya syaitan.

“Keimanan yang kukuh dan kefahaman yang jelas terhadap al-Quran menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini,” katanya.