Accessibility Tools

Skip to main content

Poli Ubi Kayu Kuning gamit memori iftar pertama – Exco Warisan tekad martabat gastronomi Kelantan secara digital

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 19 Februari – Juadah ringkas berbuka puasa pertama mengimbau kenangan manis buat Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor apabila menikmati Poli Ubi Kayu Kuning yang menurutnya sarat rasa dan cerita.

Beliau berkongsi bahawa hidangan tradisi tersebut bukan sekadar pemanis tekak ketika azan Maghrib berkumandang, sebaliknya membawa falsafah tersendiri yang kini diangkat dalam bentuk dokudrama untuk tatapan generasi baharu.

“Kuih Poli Ubi Kayu Kuning ini nampak sederhana. Namun di sebalik warna dan rasanya, ada kisah tentang ketekunan, kesabaran dan kebijaksanaan orang lama mengolah bahan tempatan menjadi juadah istimewa.

“Bertepatan pula dengan falsafah keheningan waktu duha yang diterapkan. Kisah ini mengingatkan kita agar istiqamah menunaikan solat sunat Duha sebagai tanda kita bersedekah kepada 360 sendi sendiri ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, juadah iftar pertama itu turut didokudramakan dalam episod ke-20 sebagai medium kreatif untuk berkongsi naratif dan nilai yang terkandung dalam resipi warisan berkenaan. Usaha tersebut sebahagian daripada inisiatif lebih besar bagi mendigitalisasi cerita lisan berkaitan gastronomi Kelantan yang semakin terhakis dek arus kemodenan.

Jelasnya, projek penerbitan cerita lisan dahulu kala melalui platform digital akan diteruskan secara konsisten demi memelihara pusaka Melayu yang kaya dengan kearifan tempatan.

“Kita akan teruskan usaha menerbitkan cerita lisan yang berakar pada pengalaman dan memori kolektif masyarakat. Setakat ini, saya difahamkan hanya Kelantan yang merintis dokumentasi gastronomi dalam format dokudrama sebanyak 20 episod, dengan penglibatan badan bukan kerajaan sebagai kru produksi,” hurainya.

Beliau berpandangan bahawa pendekatan tersebut mampu memperluas apresiasi masyarakat terhadap warisan makanan negeri, sekali gus memperkukuh identiti Kelantan sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik.

Mengakhiri perkongsian, beliau mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam serta mengingatkan masyarakat agar menikmati aneka juadah tradisi Kelantan secara bersederhana.

“Raikan kepelbagaian makanan kita, tetapi berbelanjalah dengan berhemah. Ramadan mendidik jiwa supaya cukup pada yang perlu, bukan tenggelam dalam berlebihan,” ujarnya.