Terminal Dua LTSIP dibuka sepenuhnya hari ini, operasi berjalan lancar
Oleh : Asri Hamat
KOTA BHARU, 19 Februari - Terminal Dua Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) beroperasi sepenuhnya hari ini, sekali gus meningkatkan kapasiti serta tahap keselesaan kepada pengguna lapangan terbang berkenaan.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail berkata walaupun masih terdapat beberapa aspek teknikal yang belum disiapkan sepenuhnya, namun operasi terminal baharu itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah, setakat hari ini kita dapati operasi berjalan dengan baik. Kemudahan yang disediakan amat selesa dan ruang letak kereta mencukupi untuk kegunaan penumpang yang mencecah sehingga 10,000 orang sehari,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan sempena pembukaan terminal dua LTSIP, hari ini.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Saizol Ismail
Tambahnya, pembinaan dan pembukaan sepenuhnya terminal berkenaan adalah satu perkembangan positif yang dinantikan rakyat negeri ini sejak sekian lama.
“Kita di peringkat negeri sudah lama menunggu untuk melihat pembinaan infrastruktur seperti ini bagi kemudahan rakyat. Ia memberi impak besar kepada keselesaan pengguna serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal menjelang musim perayaan dengan menjadikan pengangkutan udara sebagai salah satu alternatif utama.
“Saya dimaklumkan penerbangan tambahan akan disediakan oleh pihak operator penerbangan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang,” jelasnya.
Menurutnya lagi, satu laluan penerbangan antarabangsa baharu ke Jakarta juga akan diperkenalkan dalam masa terdekat, dengan promosi jualan tiket dijadualkan bermula 23 Februari ini, manakala penerbangan sulung dijangka pada pertengahan tahun ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan dan pembukaan sepenuhnya LTSIP.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menjayakan pembinaan LTSIP ini demi manfaat rakyat,” katanya.
Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah.














