Accessibility Tools

Skip to main content

Anak muda Wakaf Bharu hasilkan 100,000 ekor belut setahun, perkukuh industri akuakultur

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

TUMPAT, 19 Februari – Industri akuakultur belut pedaging di negeri Kelantan semakin berkembang apabila anak muda di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu kini mampu menghasilkan lebih 100,000 ekor setahun, sekaligus membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor agromakanan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, beliau bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah dan Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkesempatan mengadakan lawatan ke projek ternakan berkenaan, pada Isnin.

"Lawatan ini untuk meninjau perkembangan industri yang semakin mendapat perhatian usahawan tani tempatan" katanya di laman rasmi pada hari yang sama.

Menurutnya, projek yang diusahakan oleh Mohammad Azman Abdul Rashid@Ramli dan Muhamad Hairi Ishak sejak tahun 2023 itu membolehkan kapasiti pengeluaran mencecah lebih 100,000 ekor setahun.

“Projek yang diusahakan sejak tahun 2023 ini melibatkan keseluruhan rantaian ternakan bermula daripada pembiakan, asuhan sehingga pembesaran belut dengan kapasiti pengeluaran melebihi 100,000 ekor setahun,” ujarnya.

Tambahnya, projek tersebut turut berperanan sebagai pusat rujukan dan latihan kepada penternak yang berminat menceburi industri ternakan belut, sekali gus memperkukuh lagi sektor agromakanan negeri.