Jadikan Ramadan 1447H medan memperkukuh iman – MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 19 Februari – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru seluruh umat Islam menjadikan Ramadan 1447 Hijrah sebagai medan memperkukuh iman, memperhalusi akhlak dan memperteguh hubungan dengan al-Quran dalam usaha membina kehidupan yang diredai Allah SWT.
Dalam Perutusan Ramadan 1447H/2026M, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Sod, ayat 29 yang menegaskan bahawa al-Quran diturunkan sebagai kitab yang penuh keberkatan untuk ditadabbur, difahami serta dijadikan pedoman oleh golongan yang berakal.
Menurutnya, kehadiran Ramadan bukan sekadar putaran waktu tahunan, sebaliknya sebuah madrasah rohani yang dinanti-nantikan oleh orang beriman. Kegembiraan menyambut bulan penuh kemuliaan ini, katanya, hanya benar-benar dirasai oleh hati yang hidup dengan kesedaran terhadap kebesaran Ilahi.
“Ramadan merupakan peluang terbaik untuk membuktikan keazaman yang telah dipupuk sejak bulan Rejab lagi, bagi memperkukuh iman dan mengislah sahsiah diri demi mencapai darjat takwa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penurunan al-Quran pada bulan Ramadan menjadi isyarat jelas tentang kedudukan kitab suci tersebut sebagai sumber petunjuk utama dalam membentuk keperibadian mukmin.
“Tanpa panduan wahyu, manusia mudah tersasar daripada matlamat kehidupan sebenar yang menjurus kepada keredaan Allah SWT,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam memperbanyakkan tilawah dan mempertingkat usaha mentadabbur al-Quran sepanjang Ramadan, dengan memanfaatkan kemudahan teknologi masa kini untuk membaca, memahami dan menghayati kandungan wahyu agar dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks pentadbiran negeri, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memakmurkan al-Quran melalui pelaksanaan program Tadarus al-Quran di setiap peringkat sebagai manifestasi mendidik rakyat agar mengisi Ramadan dengan penghayatan yang lebih bermakna.
Tambahnya, tema “Penghayatan Membangun Bersama Islam” yang diangkat berteraskan ayat 24 hingga 28 Surah al-Anfal menjadi tekad kerajaan negeri untuk menjunjung perintah Allah dan Rasul dalam usaha mewajahkan Kelantan Sejahtera dengan kehidupan bersendikan syariat.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik dalam kehidupan, dikurniakan keamanan, keimanan serta keselamatan dalam Islam sebagaimana doa yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban.
Mengakhiri perutusan, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat, khususnya rakyat Kelantan Darul Naim.
“Semoga Ramadan ini menjadi titik tolak pembinaan jiwa yang lebih tunduk, hati yang lebih jernih dan masyarakat yang lebih sejahtera di bawah naungan rahmat Ilahi,” katanya.








