Kelantan pertingkat persiapan awal SUKMA 2028 melalui kerjasama strategik bersama Selangor
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 19 Februari 2026 – Kerajaan Negeri Kelantan terus mempertingkat persiapan awal menjelang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028 menerusi kerjasama strategik bersama Sekretariat SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad memaklumkan bahawa beliau menerima kunjungan hormat delegasi Sekretariat SUKMA XXII & PARA SUKMA Selangor 2026 pada Isnin.
Kunjung hormat itu diketuai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor YB Mohd Najwan Halimi bagi membincangkan persediaan menjelang penganjuran SUKMA Kelantan 2028.
Menurut YB Zamakhshari, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan atas kesediaan pihak Selangor untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam aspek pengurusan dan penganjuran temasya sukan berskala besar.
“Perkongsian ini membuka ruang kerjasama strategik antara negeri dalam memastikan perancangan, logistik dan pelaksanaan SUKMA Kelantan berjalan dengan tersusun dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi pada Isnin.
Delegasi Selangor turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
Turut hadir mewakili Kelantan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Negeri Kelantan Dato’ Azi Rahimee Mohamed, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA Kelantan Muhammed Imran Mansoor dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan Mohd Arman Zulkifli.
YB Zamakhshari berharap jalinan kerjasama ini menjadi langkah awal yang penting ke arah menjayakan SUKMA Kelantan 2028 secara profesional, tersusun dan berimpak tinggi demi pembangunan sukan serta kemajuan generasi muda negeri ini.














