Kerajaan negeri harap lima ayat Surah al-Anfal ditadarus di seluruh negeri
Oleh: Asri Hamat
RANTAU PANJANG, 18 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan berharap lima ayat daripada Surah al-Anfal bermula ayat 24 hingga 28 yang dipilih sebagai teks tadarus rasmi sempena Ramadan 1447H, dilaksanakan di seluruh negeri.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, teks berkenaan diharapkan ditadaruskan di semua jajahan termasuk di masjid, pejabat dan sekolah dan sebagainya bagi memastikan mesej yang terkandung dalam ayat tersebut dapat difahami serta dihayati rakyat.
Menurutnya, keutamaan pemilihan ayat berkenaan bertujuan memberi penekanan terhadap ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tanpa sebarang alasan.
“Teks ini kita jadikan bahan bacaan supaya kita memahami sasaran sebenar lima ayat yang dipilih pada tahun ini. Kerajaan negeri mensasarkan seluruh rakyat Kelantan menjadi individu yang mentaati segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Apa-apa hukum yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunah hendaklah dijadikan panduan serta diusahakan pelaksanaannya di negeri ini."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Teks Tadarus Ramadan 1447H di Masjid Beijing, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, kerajaan negeri juga mahu melihat pemimpin dan rakyat sentiasa menjaga amanah dalam setiap aspek kehidupan.
“Amanah bukan sekadar jawatan, tetapi merangkumi segala anugerah Allah SWT kepada kita seperti harta, anak pinak, tanggungjawab dan apa sahaja yang ditaklifkan untuk dilaksanakan tanpa cuai,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa ayat yang dipilih turut memfokus kepentingan menjaga institusi kekeluargaan agar tidak berada dalam keadaan kucar-kacir.
“Kita mahu semua ahli keluarga mentaati perintah Allah SWT bermula daripada ibu bapa, datuk nenek hingga anak cucu.
"Amalan seperti solat dan membaca al-Quran perlu menjadi keutamaan dalam institusi keluarga.
“Sekiranya perkara ini dijaga, insya Allah gejala mungkar dan maksiat dalam masyarakat dapat dielakkan,” katanya.
Tambahnya, dalam ayat yang dipilih memfokuskan seruan kepada umat Islam agar sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT, walaupun sekecil-kecil nikmat.
“Setiap nikmat perlu disyukuri agar kita tidak ditimpa musibah. Ini antara fokus besar yang akan ditadaruskan sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam di Kelantan menjadikan al-Quran sebagai keutamaan sepanjang Ramadan dengan memperbanyakkan bacaan setiap hari.
“Usahakan membaca al-Quran setiap hari walaupun tidak mampu menghabiskan satu juzuk. Jika mampu, afdal disempurnakan satu juzuk sehari.
“Jika menghadapi kesukaran, teruskan usaha membaca kerana insya Allah akan mendapat dua pahala iaitu pahala membaca dan pahala berusaha,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri mahu semua umat Islam di Kelantan membaca al-Quran sepanjang Ramadan dan tidak mahu walau seorang pun yang mengabaikan amalan tersebut.










