Accessibility Tools

Skip to main content

Zakat fitrah Kelantan tahun 1447H ditetapkan RM10

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 17 Februari – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri Kelantan untuk tahun 1447H/2026M sebanyak RM10.00 seorang.

Ketetapan tersebut diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan selaku Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Menurut kenyataan media YBM Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan untuk membayar sebanyak RM22.00 seorang.

Dalam pada itu, kadar nisab zakat harta bagi Negeri Kelantan untuk haul antara Ramadan 1447H hingga Ramadan 1448H ditetapkan sebanyak RM37,401.00.
Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan di seluruh negeri atau secara dalam talian menerusi portal rasmi MAIK di zakat.e-maik.my.
Sehubungan itu, MAIK berharap semua pihak dapat mengambil maklum berhubung ketetapan berkenaan serta menunaikan tanggungjawab berzakat sebagaimana yang difardukan.