Kelantan pilih ayat 24-28 Surah Al-Anfal sebagai teks tadarus Ramadan 1447H
Oleh: Asri Hamat
RANTAU PANJANG, 17 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan memilih ayat 24 hingga 28 daripada Surah Al-Anfal sebagai teks tadarus rasmi bagi Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di Masjid Beijing, di sini, pada Isnin.
Teks berkenaan kemudiannya diserahkan kepada ketua-ketua jajahan untuk diedarkan ke jajahan masing-masing bagi tujuan pelaksanaan program tadarus sepanjang Ramadan.
Pada majlis sama, Menteri Besar turut melancarkan teks tadarus jilid dua merangkumi teks dari tahun 1424H hingga 1433H.
Berucap pada majlis itu, Dato' Mohd Nassuruddin berkata penganjuran program seumpama itu amat penting dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Bulan Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia. Pada zaman ini wujud sistem navigasi atau GPS yang menunjukkan jalan ke destinasi tertentu, namun ia hanya terhad kepada urusan dunia. Sebaliknya, al-Quran adalah panduan Ilahi yang membezakan antara yang benar dan batil serta menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat negeri ini agar bertadarus dan mentadabur ayat-ayat suci al-Quran sepanjang Ramadan.
Jelasnya, tadabur menuntut umat Islam membaca, memerhati dengan teliti, memahami serta melaksanakan segala perintah dan pengajaran yang terkandung dalam al-Quran.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud
“Orang yang bertadarus akan memperoleh empat kelebihan iaitu dikurniakan ketenangan, rahmat, dikelilingi malaikat dalam majlis tadarus serta disebut namanya oleh Allah SWT di sisi malaikat yang hampir dengan-Nya,” ujarnya.
Dato' Mohd Nassuruddin turut mengingatkan masyarakat supaya merebut peluang menggandakan amalan sepanjang Ramadan sebagai bekalan di akhirat.
“Hamba Allah yang meninggal dunia semuanya akan berasa menyesal. Jika dia seorang yang baik, dia menyesal kerana tidak menambah kebaikan ketika hidup. Jika dia seorang yang jahat, dia menyesal kerana tidak menahan dirinya untuk meninggalkan maksiat.
“Justeru, rebutlah peluang dalam Ramadan dengan azam untuk melipatgandakan amalan. Ganjaran pada bulan ini berlipat kali ganda berbanding bulan lain. Ibadat sunat diberi ganjaran seperti ibadat wajib pada bulan lain, manakala ibadat wajib pula digandakan sehingga 70 kali,” katanya.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Dato' Idham Abdul Ghani, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dan timbalannya, YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan) Dato' Azi Rahimee Mohamad, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Pengurusan) Riduan Sulaiman.
















