Pembinaan hotel baharu rancakkan sektor perhotelan di Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 16 Februari - Pembinaan hotel baharu di Bandar Tunjong dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan sektor perhotelan serta merangsang pertumbuhan pelancongan secara menyeluruh di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, projek berkenaan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Ia bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat serta membuka peluang pekerjaan, bahkan mengangkat imej Bandar Tunjong khususnya dan negeri Kelantan amnya sebagai destinasi yang progresif, berdaya saing dan diyakini pelabur serta pelancong," katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan daripada Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Damai Abadi Dato' Sri Mohamed Rafik Mohd Idris di pejabat beliau di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Ahad.
Dalam pertemuan itu, Dato' Sri Mohamed Rafik membentangkan perkembangan terkini projek Mardhiyyah Hotel & Suites di Tunjong.
Projek berkenaan dijangka memberi impak positif kepada pembangunan kawasan Bandar Tunjong, sekali gus menyokong agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan di Kelantan.












