Penjawat awam diseru buat persediaan rapi sambut Ramadan, kekal cemerlang dalam tugas
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 Februari – Umat Islam khususnya penjawat awam negeri diseru melakukan persediaan awal yang rapi dari segi mental, fizikal dan spiritual bagi menyambut kehadiran Ramadan yang bakal menjelma pada Khamis depan.
Seruan itu disampaikan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah ketika merasmikan Majlis Sambutan Ambang Ramadan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau menyifatkan Ramadan sebagai tetamu istimewa yang menuntut persediaan menyeluruh agar setiap detik yang dilalui memberi nilai tambah kepada diri dan organisasi.
“Ramadan hadir sebagai madrasah tarbiah. Justeru, kita perlu menyambutnya dengan perancangan yang tersusun supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa menjejaskan amanah dan tanggungjawab hakiki,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penjawat awam perlu memastikan tahap stamina kekal stabil sepanjang Ramadan melalui pengurusan masa yang berdisiplin, penjagaan kesihatan serta pengukuhan rohani agar produktiviti kerja tidak terjejas.
Jelasnya, keseimbangan antara komitmen ibadah dan prestasi tugas merupakan manifestasi sebenar integriti seorang penjawat awam Muslim yang memahami tuntutan agama dan tanggungjawab perkhidmatan.
Program kerohanian kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu dihadiri 100 penjawat awam Negeri Kelantan.
Hadirin menyaksikan penampilan pengkuliah khas mantan Menteri Agama Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyampaikan tausiah Ambang Ramadan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2026/1447H.
Majlis berkenaan bertujuan menyemarakkan suasana Ambang Ramadan di samping memperkukuh kesedaran tentang kepentingan membuat persiapan awal, agar Ramadan kali ini dapat dilalui dengan lebih terancang, bermakna dan memberi impak positif kepada pembangunan diri serta organisasi.












