Pemain industri, rakan media diiktiraf tonggak pelancongan Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 Februari – Pemain industri pelancongan dan rakan media diiktiraf sebagai tonggak penting dalam memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi berasaskan warisan, budaya dan pengalaman autentik.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata dedikasi serta kesungguhan pemain industri pelancongan, penggiat seni, komuniti setempat dan rakan strategik telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sektor berkenaan.
“Dedikasi dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan telah membantu memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi yang kaya dengan warisan, budaya dan pengalaman pelancongan yang autentik,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Pemain Industri Pelancongan dan Media Kelantan di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting pihak media yang menjadi rakan strategik dalam mempromosikan destinasi, acara kebudayaan dan produk pelancongan kepada khalayak lebih luas.
“Melalui liputan media dan platform digital, keunikan negeri ini dapat diketengahkan, sekali gus memperkukuh imej dan daya tarikan pelancongan kita,” katanya.
Menurutnya, sinergi antara kerajaan, pemain industri dan media perlu terus diperkasa agar sektor pelancongan Kelantan berkembang secara mampan serta berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan penjenamaan semula Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) kepada Tourism Kelantan selaras dengan fungsi dan peranannya yang semakin meluas dalam mempromosi serta menyelaras sektor pelancongan negeri.
Jelasnya, langkah penjenamaan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh struktur pengurusan pelancongan secara lebih profesional dan strategik, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kelantan sebagai destinasi pilihan utama pelancong.










