Accessibility Tools

Skip to main content

Layanan adil untuk semua kaum di Kelantan, walaupun berbeza agama dan bangsa, kita satu keluarga - Exco Agama

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 16 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada sebarang perbezaan layanan antara kaum dalam masyarakat di Kelantan walaupun berbeza bangsa dan agama.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, semua kaum adalah berasal daripada keturunan yang sama dan wajar hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.

“Kita tidak pernah membezakan antara bangsa dalam masyarakat. Contohnya ini Melayu, ini Cina, ini India. Tidak ada perbezaan.

“Kita daripada datuk nenek yang sama. Kalau kita susur galur keturunan, boleh jadi ratusan pupu kita antara satu sama lain. Jadi kita semua waris."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Santuni Masyarakat Tionghua sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Hijau, di sini pada, Ahad.

Menurutnya, seluruh manusia berasal daripada ibu bapa yang satu iaitu Nabi Adam dan Hawa, justeru perbezaan agama, bangsa dan adat tidak seharusnya menjadi penghalang untuk hidup sebagai sebuah keluarga besar.

“Perbezaan agama, bangsa dan adat tidak menghalang untuk kita berbuat baik serta hidup seperti satu keluarga. Bahkan kita hendaklah saling  bantu-membantu antara satu sama lain serta mengambil berat dalam soal sakit demam dan sebagainya.

“Itu yang kita mahu wujudkan dalam masyarakat di negeri Kelantan,” katanya.

YB Mohd Asri turut mencontohkan kehidupan masyarakat pada zaman Nabi Muhammad SAW yang hidup dalam keadaan baik dan harmoni bersama masyarakat bukan Islam.

Katanya, Nabi Muhammad SAW pernah memenuhi jemputan masyarakat Yahudi ke rumah mereka, sekali gus menggambarkan wujudnya hubungan toleransi dalam kehidupan bermasyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini yang mahu kita bawa di Kelantan,” katanya.

Dalam program berkenaan, seramai 250 masyarakat Tionghua sekitar Kota Bharu hadir termasuk 50 muallaf atau saudara baharu. Turut disampaikan sumbangan bakul makanan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Ziarah Dakwah Ukhuwah yang dianjurkan secara berkala oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) kepada golongan bukan Islam.

Program kali ini dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Masjid Jamek Muhammadi dan International Islamic Information & Daawah Centre (IIDAC).

Hadir sama, Pengarah JAHEAIK Dr Hasnan Ramli, Pengarah Bahagian Dakwah JAHEAIK Anuar al-Sadat Noor, Pengerusi IIDAC Muhammad Micheal (Mat Ghana).