AI realiti baharu komunikasi, penguasaan ilmu tuntutan semasa
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 15 Februari – Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah menegaskan bahawa kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) merupakan satu gelombang besar yang sedang mengubah cara manusia bekerja, berfikir, berinteraksi dan mempengaruhi masyarakat.
Menurutnya, perbincangan mengenai AI bukan lagi bersifat spekulatif atau bermusim, sebaliknya ia adalah realiti yang tidak boleh dinafikan.
“Hari ini kita bercakap tentang AI. Ada yang melihatnya sebagai trend sementara, ada juga yang melihatnya sebagai ancaman kepada peranan manusia. Namun bagi saya, AI adalah satu realiti yang tidak boleh ditawar-tawar.
“Ia sudah berada dalam telefon kita, menentukan apa yang muncul dalam paparan media sosial dan mempengaruhi arus maklumat dunia tanpa kita sedari. Ia tidak menunggu kita bersedia, ia terus bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Ai Pro (Pengkhususan Media) di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas kebimbangan bahawa teknologi akan menggantikan tenaga manusia, beliau menjelaskan bahawa realiti semasa menunjukkan manusia bukan digantikan oleh mesin, sebaliknya oleh manusia lain yang lebih mahir menguasai teknologi.
“Dahulu orang bimbang mesin akan mengambil alih kerja manusia. Hari ini lebih jelas, manusia tidak akan digantikan oleh mesin, tetapi akan digantikan oleh manusia yang tahu menguasai mesin,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pegawai media Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kepimpinan sayap dewan yang hadir kerana memilih untuk menguasai perubahan, bukan sekadar menjadi pemerhati di pinggiran arus kemajuan.
YB Nik Bahrum turut menekankan bahawa platform AI yang digunakan hari ini, sama ada dibangunkan oleh OpenAI, Google atau pemain teknologi lain, hanyalah alat yang berfungsi memproses data dan mengenal pola berdasarkan kebarangkalian.
“AI tidak mempunyai hati nurani, tidak mempunyai niat dan tidak mempunyai kompas moral. Kebijaksanaan, pertimbangan serta nilai tetap milik manusia.
“Jika digunakan oleh tangan yang jujur, ia menjadi wasilah kebaikan. Jika digunakan secara cuai, ia boleh menjadi punca kerosakan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa sebagai penggerak penerangan, komunikasi politik dan dakwah, setiap individu memikul amanah besar kerana setiap ayat, grafik dan respons yang disiarkan membentuk persepsi rakyat.
“AI boleh mempercepatkan kerja kita, tetapi AI tidak boleh mengambil alih tanggungjawab kita,” ujarnya.
Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu bertujuan memperkukuh penguasaan teknikal dan kemahiran penggunaan AI dalam kalangan pengurus media pemimpin negeri di seluruh Kelantan.
Bengkel berkenaan dibimbing oleh fasilitator, Khairul Nazdir Helmi Azhar dan menghimpunkan 80 peserta dalam kalangan pengurus media serta kepimpinan komunikasi negeri bagi memastikan penyampaian maklumat lebih pantas, tepat dan berintegriti selaras dengan perkembangan teknologi semasa.












