Kerajaan Kelantan tawar insentif pengecualian 100 peratus bayaran pindah milik sempena MAPEX 2026
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 15 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri sebagai tempat tinggal yang selesa dan selamat dengan menawarkan beberapa insentif kepada pembeli.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, antara insentif ditawarkan oleh kerajaan negeri sempena Pameran Hartanah (MAPEX) Kelantan 2026 ialah pengecualian 100 peratus bayaran pendaftaran pindah milik serta pengecualian 100 peratus bayaran pendaftaran gadaian bagi unit Rumah Mampu Milik (RMM) kepada pembeli rumah kali pertama.
Beliau berkata, keistimewaan turut diberikan kepada orang Melayu bukan anak Kelantan yang ingin membeli rumah di negeri ini namun tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah
“Antara syaratnya, hartanah hendaklah dibeli daripada pemaju berlesen yang mendaftarkan projek mereka dengan MAPEX.
“Pembeli juga hendaklah bekerja dalam sektor kerajaan di Kelantan serta mempunyai pertalian dengan anak Kelantan seperti berkahwin dengan anak Kelantan atau mempunyai anak yang lahir di Kelantan,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Pembeli yang berminat juga boleh merujuk tempoh promosi MAPEX melalui REHDA Malaysia atau pemaju yang menyertai MAPEX 2026 Kelantan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menyiapkan rangka Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan 2026 yang menekankan empat perkara utama iaitu keutamaan kepada pembeli rumah pertama, harga munasabah dan terkawal, spesifikasi minimum yang selesa dan selamat serta kuota wajib RMMK dalam projek baharu melebihi tiga ekar.
“Ini adalah sebahagian usaha pihak kerajaan bagi memastikan setiap keluarga memiliki tempat berteduh yang sempurna kerana dalam Islam, tempat tinggal yang selesa adalah asas kesejahteraan keluarga.
“Kita mahu pembangunan di Kelantan bukan sahaja moden dan kompetitif, tetapi juga patuh Syariah, berintegriti dan diberkati Allah SWT.
"Kita tidak mahu pemaju sekadar membina rumah, tetapi kita juga mahu membina masyarakat yang sakinah, mawaddah dan rahmah,” jelasnya.
Terdahulu, beliau mewakili Menteri Besar Kelantan merasmikan majlis penutup Pameran Hartanah (MAPEX) Kelantan 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Februari di Mydin Mall Tunjung, di sini pada Sabtu.
Dalam pameran tersebut, sebanyak 13 syarikat pemaju perumahan termasuk institusi kewangan dan perbankan membuka reruai pameran dengan 700 unit hartanah bernilai lebih RM200 juta ditawarkan kepada pembeli.














