Accessibility Tools

Skip to main content

Projek Emas Untuk Palestin kutip lebih RM300,000, 4 kontena bantuan bakal dihantar ke Mesir

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media U-KeKWa

KOTA DARULNAIM, 15 Februari – Perkembangan Projek Emas Untuk Palestin terus menunjukkan hasil yang positif apabila berjaya mengumpul lebih RM300,000 hasil keprihatinan masyarakat terhadap nasib rakyat Palestin.

Projek tersebut merupakan inisiatif Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dengan kerjasama Majlis Perundingan Wanita Kelantan serta Pertubuhan Cakna Palestin dalam menyelaras gerak kerja kutipan dan penyaluran bantuan secara sistematik dan berfasa.

Perkembangan tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Projek Emas Untuk Palestin di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, yang dipengerusikan oleh Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin pada Khamis.

Menurut YB Nor Asilah, bagi Fasa 1 (Oktober 2024 hingga Januari 2025), projek itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM75,258. Manakala Fasa 2 (Februari 2025 hingga Januari 2026) mencatatkan kutipan sebanyak RM228,557.99.

Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Nor Asilah Mohamed Zin

Selain itu, hasil jualan emas turut menyumbang sebanyak RM176,903.28, menjadikan jumlah keseluruhan terkumpul sebanyak RM303,815.99.

Tambah YB Nor Asilah, dana yang diperoleh telah disalurkan dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, antaranya bakul makanan sempena pra-Ramadan, Inisiatif Dapur Kelantan bagi penyediaan makanan, bantuan bekalan air, hadiah khas untuk wanita bagi persiapan sebelum Aidilfitri serta pelaksanaan projek gandum bagi keperluan makanan asas.

Sebagai kesinambungan usaha kebajikan tersebut, pada 16 Februari 2026, sebanyak empat kontena bantuan melibatkan tiga kontena gandum dan satu kontena pek makanan akan disampaikan kepada kem pelarian Palestin di Mesir melalui Yayasan Amal.