Kuda simbolik lambang kekuatan rakyat Kelantan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU 15 Februari – Tahun 2026 yang menurut kalendar Cina merupakan Tahun Kuda membawa simbolik kekuatan, ketahanan, keberanian dan semangat untuk terus bergerak maju.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, kuda bukan haiwan yang statik, sebaliknya sentiasa bergerak ke hadapan dengan penuh tenaga serta memiliki daya tahan tinggi.
Menurutnya, nilai berkenaan amat bertepatan dengan semangat rakyat Kelantan yang tidak mudah mengalah, berani menghadapi cabaran dan sentiasa mencari peluang untuk terus maju.
“Negeri kita memerlukan semangat seperti kuda, iaitu semangat yang kuat, berdaya tahan dan sentiasa bergerak ke hadapan walau berdepan pelbagai cabaran."
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Dewan Perniagaan Cina, di sini, pada Jumaat.
Katanya lagi, kerajaan negeri komited memastikan pembangunan yang inklusif, adil dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta latar belakang.
Menurutnya, Kelantan sejak dahulu terkenal dengan keunikan masyarakatnya yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India dan lain-lain hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
“Saling hormat-menghormati dan meraikan perbezaan merupakan kunci utama kepada perpaduan di Kelantan.
“Sambutan seperti ini menjadi jambatan untuk mengukuhkan hubungan antara kaum,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kepelbagaian kaum bukan alasan untuk berpecah, sebaliknya asas untuk saling memahami dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat.
Jelasnya, perpaduan yang wujud tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan termasuk penglibatan belia pelbagai kaum serta keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
“Penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan, kebajikan dan pembangunan komuniti mampu merapatkan jurang serta membina kepercayaan antara komuniti,” katanya.
Beliau juga menggalakkan anak muda Kelantan termasuk masyarakat Tionghua tampil sebagai pemimpin masa depan negeri.
“Kita mahu anak-anak muda menyertai aktiviti kesukarelawan, keusahawanan, sukan dan pelbagai program pembangunan belia yang dianjurkan kerajaan negeri, khususnya melalui Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan,” katanya.
Tambahnya, perpaduan kukuh menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan ekonomi negeri kerana tanpa perpaduan, pembangunan mampan sukar dicapai.
“Budaya kasih sayang merentas kaum adalah nilai yang kita junjung bersama. Dalam apa jua perayaan, nilai kekeluargaan dan penghormatan kepada orang tua sentiasa menjadi teras masyarakat di negeri ini,” ujarnya.












