MAIK, Yayasan Karyawan jalin kerjasama terbitkan Naskhah Sejarah Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 12 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkolaborasi dengan Yayasan Karyawan untuk menerbitkan Naskhah Sejarah Kelantan apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di Dewan Tok Kenali, MAIK di sini hari ini.
Majlis tersebut disaksikan oleh Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB Sahibul Samahah Dato' Kaya Perba, Dato' Mohamad Shukri Mohamad.
MAIK diwakili Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Anis Hussein bersama Setiausaha MAIK, Rasani Ramli, manakala Yayasan Karyawan diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Roosfa Hashim dan Pegawai Penerbitan, Hafizan Amiti.
Dato' Mohd Anis dalam ucapannya berkata, MAIK melalui Unit Adat Istiadat mengambil pendekatan signifikan dengan menghimpunkan naskhah penting sejarah Kelantan untuk dipelihara dan diterbitkan semula secara kolaboratif bersama Yayasan Karyawan di bawah pimpinan Dato’ A Aziz Deraman.
Katanya, sebelum 1940-an, banyak manuskrip dan bahan bertulis berkaitan sejarah Kelantan dalam tulisan Jawi menjadi rujukan penting pengkaji, namun sebahagiannya hilang ditelan zaman, musnah akibat bencana atau tidak lagi dicetak sehingga sukar diperoleh generasi kini.
“Selain itu, kekangan utama hari ini ialah kebanyakan naskhah ditulis dalam tulisan Jawi yang mungkin kurang mesra dibaca generasi muda yang lebih terbiasa dengan tulisan Rumi.
“Justeru, usaha mendekatkan masyarakat dengan sumber sejarah Kelantan adalah langkah tepat dan amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, Naskhah Sejarah Kelantan mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menghimpunkan teks sejarah bertulisan Jawi dalam satu kompilasi yang mudah dirujuk.
Menurutnya, kandungan asal dalam tulisan Jawi akan ditransliterasi ke tulisan Rumi bagi memudahkan pembacaan, selain fakta sejarah diselaraskan melalui anotasi, nota kaki dan penambahan penerangan tanpa menjejaskan teks asal.
“Usaha ini bertujuan mengangkat kembali teks sejarah yang hampir tenggelam dalam lipatan masa, selain memperkukuh peranan MAIK dalam memelihara warisan ilmu, adat istiadat dan jati diri negeri serta rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau berharap penerbitan karya itu menjadi sumber rujukan penting khususnya kepada generasi muda untuk memahami sejarah pemerintahan Kelantan, menghargai jasa pemimpin terdahulu serta memupuk semangat mempertahankan kedaulatan negeri dan maruah negara.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, Dato’ Dr A Aziz Deraman, berkata majlis pemeteraian MoA berkenaan adalah langkah awal penting dalam usaha meneroka, menilai dan mengangkat manuskrip lama di Kelantan sebagai Karya Agung Melayu.
“Sebagai permulaan, Yayasan Karyawan dengan kerjasama MAIK akan menerbitkan Naskhah Sejarah Kelantan yang diharapkan menjadi sumber rujukan penting kepada masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Beliau berkata, naskhah itu dijangka siap hujung tahun ini dan berharap dapat disebarkan ke institusi pengajian tinggi serta perpustakaan awam utama di seluruh negara.
Katanya, pihak Yayasan Karyawan juga turut berbincang dengan MAIK agar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dapat memainkan peranan memasukkan sejarah Kelantan dalam pengajian di universiti berkenaan.
"Naskhah Sejarah Kelantan sudah 50 peratus siap dan MAIK telah menyerahkan skrip kepada Yayasan Karyawan untuk disunting. Selepas siap, ia boleh diperolehi menerusi laman sesawang Yayasan Karyawan serta platform jualan dalam talian,” jelasnya.














