12 pelajar cemerlang STAM Maahad Saniah terima sumbangan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 12 Februari – Sebanyak 12 pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 dari Maahad Saniah, Pasir Puteh menerima sumbangan sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka.
Sumbangan berkenaan disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.
Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam STAM, selain menjadi dorongan dan suntikan semangat untuk terus beristiqamah dalam menuntut ilmu.
“Sebanyak dua pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang, dua pelajar yang mendapat Mumtaz menerima RM500 setiap seorang, manakala lapan pelajar yang memperoleh Jayyid Jiddan menerima RM300 setiap seorang.
“Semoga penghargaan ini menjadi asbab keberkatan, menguatkan semangat menuntut ilmu serta melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan bertakwa,” katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Selasa.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Saniah Kali Ke-24 bagi tahun 2026 yang menjadi platform penting menghimpunkan pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti untuk berbincang dan memperkukuh kerjasama demi kecemerlangan pendidikan.
Turut hadir, Pengerusi PIBG Maahad Saniah, YB Dato Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Dato' Tuan Mohd Saripudin turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak yang terus memberi sokongan kepada institusi pendidikan Islam dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing selari dengan aspirasi pendidikan Islam di negeri ini.
“Tahniah juga kepada semua pelajar STAM yang menduduki peperiksaan baru-baru ini, khususnya 12 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang Mumtaz dan Jayyid Jiddan.
“Semoga penghargaan ini menyemarakkan lagi semangat kecemerlangan dan melahirkan generasi pewaris ummah yang berilmu, beradab serta bertakwa,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.


















